KUALA LUMPUR – Polis sedang menyusun semula jadual rondaan mengikut keperluan dan keutamaan sekolah tertentu, termasuk yang dikenal pasti mempunyai isu disiplin seperti ponteng, gengsterisme atau pengaruh negatif media sosial.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain rondaan fizikal, polis juga akan terbabit secara langsung dalam aktiviti sekolah seperti ceramah atau taklimat keselamatan ketika perhimpunan mingguan, serta hadiri program seperti hari komuniti atau penyampaian hadiah.
Katanya, keputusan meningkatkan kekerapan rondaan ke sekolah di seluruh negara susulan keputusan Kabinet baru-baru ini.
“Rondaan sebelum ini memang sudah dijalankan, namun arahan terbaharu Kabinet adalah untuk menambah bilangan dan kekerapan rondaan bagi memastikan keselamatan pelajar serta persekitaran sekolah lebih terjamin.
“Ini bukan bermaksud sebelum ini tiada rondaan, tetapi kini kita menambah kekerapan,” katanya pada sidang media Simposium Penagihan Dadah Sains Kebangsaan 2025 di Putrajaya lapor BH pada Rabu.



