KOTA KINABALU, – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, manakala hari penamaan calon pada 15 November dan undi awal pada 25 November.
Ketika mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu, SPR memaklumkan tempoh berkempen ditetapkan selama 15 hari, bermula selepas proses penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 28 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan pada 6 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin memperkenankan permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi memberi laluan kepada mandat baharu rakyat.
Pembubaran itu dilakukan hampir sebulan sebelum tamat penggal DUN semasa, susulan perbincangan dalaman antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan pentadbiran di peringkat persekutuan mengenai masa terbaik mengadakan pilihan raya.
Sabah mempunyai 79 kerusi DUN, dengan 73 kerusi dipertandingkan manakala enam lagi merupakan lantikan.
Pilihan raya kali ini dijangka menjadi medan persaingan utama antara gabungan GRS, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan, dengan tumpuan khusus terhadap beberapa kerusi panas di Pantai Barat, pedalaman serta pantai timur negeri itu.



