KUALA LUMPUR — Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata kadar mutasi genetik tinggi pada virus influenza terus menjadi cabaran utama komuniti saintifik dunia dalam menghasilkan vaksin universal yang kekal berkesan untuk jangka panjang.
Menurutnya, perubahan genetik virus berlaku dengan kerap, menyebabkan vaksin perlu dikemas kini setiap tahun berdasarkan pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
“Vaksin quadrivalent dibangunkan mengikut strain dominan semasa, bagi memastikan perlindungan optimum kepada masyarakat.
“Mutasi virus ini berlaku secara kerap, oleh itu vaksin universal masih belum dapat dibangunkan.
“Sebagai gantinya, WHO dan CDC akan pantau strain dominan setiap tahun, dan vaksin quadrivalent dikembangkan mengikut keperluan semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menjelaskan sama ada vaksinasi akan dilakukan secara tahunan kerana variannya berubah setiap tahun.
Menurut Dzulkefly, pendekatan ini membolehkan sistem kesihatan awam menyesuaikan diri secara dinamik, sambil memberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi dan mengurangkan beban hospital ketika musim penularan influenza.
Mengulas mengenai kaedah pengesanan, beliau berkata ujian makmal tidak dijalankan untuk semua pesakit bergejala ringan kerana rawatan tidak akan berubah.
“Diagnosis boleh dibuat berdasarkan simptom. Ujian makmal hanya dilakukan bagi kes tertentu, terutamanya yang melibatkan komplikasi atau pesakit berisiko,” katanya lagi.
Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM sedang mempergiatkan langkah pencegahan melalui kempen kesedaran awam, khususnya menjelang musim peningkatan kes.
“Orang ramai, terutamanya warga emas dan individu dengan penyakit kronik, digalakkan mendapatkan vaksin influenza tahunan di fasiliti kesihatan terpilih,” tambah beliau.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha KKM memperkukuh kesiapsiagaan jangka pendek dan panjang dalam menangani penyakit berjangkit yang terus berkembang secara genetik.
Sementara itu, dalam sidang media di Parlimen beliau memberitahu bahawa keputusan menutup sesebuah sekolah akibat penularan penyakit berjangkit tidak dibuat berdasarkan satu paras atau threshold tertentu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pelbagai faktor.
Jelasnya, penilaian akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira jumlah kes, kadar kejadian (incidence), tahap keterukan (severity), serta kadar ketidakhadiran pelajar.
“Semua faktor ini bersifat multifaktorial. Kita perlu melihat kepada keseluruhan matriks termasuk bilangan kes, kadar jangkitan, dan tanda awal seperti peningkatan ketidakhadiran murid,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling penting ialah memastikan pihak sekolah sentiasa berhubung dan berbincang dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
“KKM akan terus berkomunikasi dengan pihak sekolah dan memberikan panduan serta nasihat bagi memastikan pengoperasian sekolah tidak menjejaskan keselamatan pelajar,” katanya lagi.



