CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan gambar atau video berkaitan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa berusia 16 tahun yang maut selepas ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurut kenyataan itu, penyebaran sebarang kandungan yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian bukan sahaja melanggar privasi keluarga tetapi juga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“MCMC menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang gambar atau video yang berkaitan dengan kejadian tersebut.
Jika kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya,” katanya.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan bahawa mereka yang didapati menyebarkan bahan sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Siasatan awal polis mendapati suspek seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama, telah ditahan bagi membantu siasatan dan dua senjata tajam turut dirampas di tempat kejadian.
MCMC dalam kenyataannya menegaskan masyarakat perlu menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.-SuaraTV



