CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyatakan komitmen untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2026, selaras dengan penekanan kerajaan terhadap perluasan infrastruktur digital, kesalinghubungan komunikasi dan pemberdayaan masyarakat melalui teknologi.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pelaksanaan lima program utama yang diumumkan kerajaan bagi memastikan akses digital yang inklusif di seluruh negara:
• Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) – RM2 bilion diperuntukkan bagi pembinaan kabel sepanjang 3,190 kilometer menghubungkan Johor, Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan capaian internet nasional.
• Peluasan Liputan JENDELA 2 – RM780 juta bagi membawa jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
• Internet untuk Fasiliti Kesihatan – RM650 juta diperuntuk bagi meningkatkan sambungan di hospital awam dan klinik kesihatan demi memperkukuh perkhidmatan rakyat.
• Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) – RM350 juta bagi memperkasa 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan dan keusahawanan untuk penduduk luar bandar.
• Sistem Amaran Awal Bencana (EWS) – RM210 juta bagi pembangunan sistem amaran awal demi kesiapsiagaan negara dan perlindungan rakyat.
Selain itu, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion bagi memperkukuh kedaulatan data negara secara selamat dan beretika. Inisiatif ini turut menyokong penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan.
MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan internet lebih pantas dan mampu milik kepada rakyat dan sektor perniagaan.
Pada masa sama, Kempen Internet Selamat akan diperluas bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan internet beretika dalam kalangan masyarakat.
Menurut MCMC, keseluruhan inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen untuk memperkukuh kesalinghubungan nasional, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan manfaat teknologi dinikmati secara adil oleh rakyat di seluruh negara.



