DOF terima kapal peronda baharu, perkukuh penguatkuasaan perikanan negara

Oleh Zihan Zari

MIRI – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerima dua buah kapal peronda baharu, Kapal Perikanan (KP) Manta dan Kapal Perikanan (KP) Layaran, bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perikanan negara melalui pelaksanaan Program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS).

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain telah menyempurnakan Majlis penyerahan dan penerimaan KP Manta dan KD Layaran di limbungan kapal Sarawak Slipways Sdn. Bhd., dekat sini baru-baru ini.

Adnan berkata, penambahan aset maritim ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan DOF dalam memastikan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.

“Kedua-dua kapal peronda ini akan meningkatkan keberkesanan operasi rondaan dan pengawasan, membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU fishing).

“Selain itu, KP Manta dan KP Layaran berfungsi sebagai aset sokongan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kecemasan di laut.

“Dengan adanya dua kapal peronda ini , keupayaan DOF untuk melindungi sumber marin dan menjamin keterjaminan makanan negara dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kapal peronda ini dibina dengan kos keseluruhan RM13.88 juta, berukuran 17.95 meter panjang dan 5.20 meter lebar, dilengkapi dua enjin berkuasa tinggi (2 x 1200 kuasa kuda) yang membolehkan kelajuan sehingga 20 knot, serta berupaya menampung seramai lapan kru bagi setiap operasi.

Ujarnya, kedua-dua kapal ini juga memperkenalkan identiti baharu kapal penguatkuasaan DOF yang berwarna putih, merah dan biru, menggantikan warna kelabu sebelum ini.

Perubahan imej ini menzahirkan aspirasi baharu DOF dalam memperkukuh aktiviti konservasi dan penguatkuasaan perikanan negara.

“KP Manta akan ditempatkan di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Langkawi, manakala KP Layaran akan beroperasi dari PKOPP Kuantan dan berlayar ke destinasi masing-masing pada 5 Oktober 2025, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Adnan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas sokongan peruntukan di bawah RMKe-12, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang sentiasa memberikan perhatian terhadap pelaksanaan program MCS.

Selain itu, kepada warga DOF khususnya pasukan teknikal dan pengurusan projek yang memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan teratur.

Tambahnya, penyerahan ini menandakan langkah penting ke arah memperkukuh keberkesanan Program MCS serta usaha Malaysia menentang IUU fishing, sejajar dengan pindaan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 2025).

“Ia turut memperlihatkan sokongan penuh kerajaan dalam menjaga sekuriti makanan negara melalui kelestarian sumber marin, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat