23 Aktivis Malaysia Misi Flotilla Gaza Dijangka Tiba di KLIA Malam Ini

Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air malam ini selepas dibebaskan oleh tentera Israel, memetik laporan Bernama.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata kumpulan berkenaan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekitar jam 9.45 malam.

“Alhamdulillah dengan izin Allah, SNCC memanjangkan makluman dan jemputan untuk semua penyokong serta rakan media ke Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di WhatsApp malam tadi.

Kumpulan aktivis tersebut sebelum ini ditahan oleh tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di kawasan Zon Merah Laut Mediterranean pada Khamis lalu, ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Selepas beberapa hari ditahan di Pelabuhan Ashdod, Israel, kesemua mereka telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam, sebelum singgah di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia untuk transit ke Kuala Lumpur.

Antara yang terlibat dalam misi tersebut ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio), Farah Lee (Nurfarahin Romli) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu), serta Zizi Kirana (kapal Huga).

Turut serta ialah Ardell Aryana (Nurul Hidayah Mohd Amin), PU Rahmat, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, serta tiga aktivis muda — Muhammad Hareez Adzrami (Harozqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli, dan Taufiq Mohd Razif.

Misi Global Sumud Flotilla yang berlepas dari Barcelona, Sepanyol awal September lalu merupakan usaha antarabangsa menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut, di tengah-tengah sekatan berterusan oleh rejim Israel.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat