KUALA LUMPUR, – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan teks penuh penghakiman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu dokumentasi tujuh pemain naturalisasi negara, dengan mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia sendiri mengakui tidak memiliki bukti jelas mengenai kelahiran asal di Malaysia bagi individu yang terlibat.
Dokumen rasmi bertarikh 25 September 2025 itu, yang ditandatangani oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan telah melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penyelewengan dokumen.
Dalam laporan tersebut, FIFA menyatakan FAM telah menggunakan dokumen kelahiran yang mengandungi maklumat palsu ketika mengemukakan permohonan kelayakan tujuh pemain untuk mewakili skuad kebangsaan.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA menyatakan siasatan mendapati terdapat perbezaan besar antara sijil kelahiran asal yang diperoleh oleh Sekretariat FIFA dan dokumen yang dikemukakan oleh FAM. Antara penemuan utama menunjukkan bahawa datuk atau nenek pemain yang dikatakan lahir di Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Perenggan 47 laporan itu turut menyorot kenyataan rasmi Ketua Pengarah JPN yang difailkan oleh FAM sendiri. Menurut FIFA, JPN mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal bagi individu terbabit, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan baharu berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara dari Argentina, Brazil serta Sepanyol.
JPN turut mengakui tidak dapat mengesan rekod tulisan tangan asal, dan akibatnya hanya mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan bukti bahawa kelahiran tersebut pernah berlaku. FIFA menyatakan pengakuan itu menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak dilakukan berdasarkan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap ketelitian semakan FAM.
Berdasarkan kesimpulan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan menggunakan dokumen yang telah dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan mereka. FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Antara pemain yang dinamakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA menegaskan kesalahan ini bukan sekadar teknikal kerana kesemua tujuh pemain beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, di mana dua daripada mereka menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 Malaysia.
Menurut FIFA, tindakan FAM “menjejaskan integriti pertandingan dan prinsip kejujuran dalam bola sepak”, serta menggugat kepercayaan terhadap sistem naturalisasi pemain.
Keputusan itu boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis penghakiman, dengan bayaran rayuan sebanyak CHF1,000.
Dalam kenyataan berasingan semalam, FAM mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh tersebut dan akan mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang FIFA. FAM juga menegaskan bahawa semua dokumen dan bukti sokongan telah disediakan sepenuhnya untuk dikemukakan dalam proses rayuan.-Suara.TV



