KUALA LUMPUR – Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah dalam keadaan bersiapsiaga berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), sekali gus optimis dapat merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri itu
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berbekalkan pengalaman lama dalam politik dan mentadbir negeri, pihaknya giat menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak rakyat.
“Kita tidak menunggu esok. Persediaan kita sudah lama berjalan. Semua jentera Umno-BN di seluruh negeri kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.
“Saya menyeru setiap pemimpin bahagian, sayap dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pastikan jentera digerakkan 100 peratus bagi menjamin kemenangan calon-calon BN di seluruh Sabah.
“Umno-BN bukan baharu dalam perjuangan ini. Kita mempunyai pengalaman luas mentadbir, membangun dan menjaga negeri Sabah. Pengalaman ini menjadi bekal utama kita yang akan memudahkan setiap jentera, calon dan kepimpinan melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Dalam menghadapi PRN kali ini, Umno-BN akan menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak semasa rakyat. Politik hari ini menuntut kebijaksanaan dan kepekaan terhadap suara rakyat.
“Kita tidak datang dengan kata-kata manis, tetapi dengan pelan dan tindakan yang nyata kerana pepatah ada mengatakan kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.
“Kita juga tidak akan menutup mata terhadap hakikat sebenar isu kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membangunkan negeri akan menjadi tumpuan utama dalam kempen BN kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menyentuh prestasi kerajaan negeri dipimpin GRS, Bung Moktar percaya rakyat Sabah mampu melihat sendiri kegagalan mereka dalam menguruskan hal ehwal ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri itu.
Kegagalan GRS katanya membuatkan banyak kawasan di Sabah masih ketinggalan, malah dakwanya peluang pekerjaan juga sempit selain dasar pembangunan negeri tidak tersusun.
Atas kegagalan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu percaya rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak untuk memilih parti serta calon yang mampu membawa arus perubahan lebih baik buat rakyat dan negeri.
“Kita bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan keupayaan dan pengalaman yang telah terbukti. Kita sudah bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
“Kita percaya rakyat Sabah berhak untuk hidup lebih baik daripada hari ini berhak menikmati peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh.
“Inilah masa untuk kita betulkan semula haluan negeri Sabah. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Pengalaman Umno-BN menjadi sandaran untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.



