KUALA LUMPUR – Umno akan meminta Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan, ini bagi membolehkan RUU berkenaan ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif, selain mengambil kira pandangan dan kritikan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata, Umno tidak menolak konsep pembangunan semula bandar, namun proses berkenaan perlu dibuat secara tersusun dan terancang tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.
“Ya, Umno akan minta RUU PSB 2025 dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat). Kita sudah memperoleh pelbagai dapatan susulan penganjuran Konvensyen PSB.
“Dapatan ini akan dibincang bersama Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk meneliti bagaimana kita boleh mengolah pandangan masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat blok kerajaan, kita tak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri. Justeru, kita akan bawa RUU ini dan berbincang dengan Ahmad Zahid. Beliau akhirnya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri,” lapor BH pada Jumaat.
Johari yang juga Ketua Pasukan Khas Umno bagi Penambahbaikan RUU PSB 2025 berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen PSB anjuran parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Selain Ahmad Zahid, turut hadir ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Johari berkata, keputusan merujuk RUU PSB 2025 ke jawatankuasa khas dibuat selepas mengambil kira cadangan akta itu membabitkan kepentingan banyak pihak, merangkumi pemilik, penyewa, penduduk dan pelbagai pihak berkepentingan lain.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, keadaan itu antara lain menyebabkan timbul pelbagai keresahan dan kritikan dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai contoh, ada dalam 91 kawasan di Kuala Lumpur dan kalau ini (pembangunan semula) berlaku serentak, di mana kita mahu cari rumah sewa?
“Jika penduduk terpaksa dipindahkan jauh dari tenpat kerja, kadar sewa RM1,200 sebulan yang sering diberikan pemaju mungkin tidak relevan kerana ia membabitkan kos tambahan sementara menunggu rumah baharu siap.
“Antara kos tambahan ialah perbelanjaan untuk perjalanan ke tempat kerja yang lebih jauh, anak bersekolah mungkin memerlukan bas sekolah dan sebagainya.
“Inilah beberapa perkara menyebabkan ramai risau mengenai RUU PSB 2025,” katanya.



