KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla yang membawa aktivis antarabangsa termasuk rakyat Malaysia serta muatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Saya mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas flotila ini. Kapal-kapal tersebut membawa orang awam tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan yang amat diperlukan di Gaza, namun berdepan intimidasi dan paksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan tindakan Israel menyekat misi kemanusiaan tersebut mencerminkan sikap angkuh rejim itu yang bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, malah memperlekehkan suara hati nurani dunia.
“Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel telah menunjukkan penghinaan mutlak bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga terhadap hati nurani dunia. Flotila ini melambangkan solidariti, belas ihsan dan harapan agar penduduk Gaza mendapat sedikit kelegaan daripada sekatan,” ujarnya.
Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan berlandaskan undang-undang untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila melibatkan keselamatan warganegara Malaysia.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kami tidak akan membiarkan ia dicabuli tanpa sebarang tindakan,” tegas beliau.
Anwar turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dinafikan hak asasi serta aspirasi mereka.
“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan cita-cita mereka, Malaysia akan tetap teguh bersama mereka. Kita tidak akan berhenti menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan dan perampasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama,” jelas Perdana Menteri.



