Prabowo kembalikan semula pas media wartawan CNN selepas tanya program makanan percuma bermasalah

JAKARTA- Pejabat Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengembalikan semula akses kepada wartawan CNN Indonesia, Diana Valencia, selepas pas medianya ditarik balik selepas dia bertanya mengenai program makanan percuma yang bermasalah.

Ketua Pengarang CNN Indonesia, Titin Rosmasari berkata, beliau sudah bertemu pihak Istana Negara dan mengesahkan akses Valencia dikembalikan.

Pihak Istana turut memohon maaf berhubung tindakan itu dan memberi jaminan ia tidak akan berulang.

Majlis media utama Indonesia pada Ahad lalu turut mendesak Istana memberi penjelasan serta mengembalikan akses wartawan tersebut, sambil menegaskan perlunya kebebasan media dilindungi.

Titin menjelaskan pas media wartawan berkenaan disekat pada malam Sabtu. Menurutnya, sekitar pukul 7.15 malam, seorang pegawai daripada Biro Media dan Informasi Sekretariat Presiden datang terus ke pejabat CNN Indonesia untuk mengambil kad tersebut.

Katanya, penarikan akses itu berpunca daripada pertanyaan Valencia kepada Prabowo mengenai ribuan murid sekolah yang jatuh sakit selepas menerima makanan daripada program makanan percuma kerajaan.

Rakaman siaran berita menunjukkan Valencia bertanya kepada Prabowo sama ada beliau mempunyai arahan khusus kepada Badan Gizi Nasional yang mengendalikan program itu.

Prabowo menjawab beliau akan memanggil agensi berkenaan serta menyifatkan isu itu sebagai ‘perkara besar’.

Beliau turut mengakui program baharu pasti mempunyai kekurangan di peringkat awal dan mengingatkan supaya isu tersebut tidak dipolitikkan.

Menurut Tempo, wartawan lain pada acara berkenaan hanya dibenarkan bertanya mengenai lawatan rasmi Prabowo ke luar negara minggu lalu, termasuk persinggahan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi.

Data kerajaan menunjukkan hampir 6,000 murid jatuh sakit sejak pelaksanaan program makanan percuma bernilai berbilion dolar itu bermula Januari lalu, termasuk lebih 1,000 kes yang dicatatkan minggu lepas sahaja.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat