KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)Wilayah Persekutuan Asheeq Ali Sethi Alvi menegaskan pendedahan Datuk Wan Saiful Wan Jan harus diambil berat oleh pihak polis.
Ujar beliau, dengan pendedahan ini, polis bertanggungjawab untuk membuka semula siasatan terhadap video terbabit dan polis juga perlu merakam keterangan Wan Saiful Wan Jan berkenaan sumber yang didakwa oleh beliau.
“Pendedahan terbaru ini secara langsung menyentuh hasil siasatan polis ke atas video tersebut pada tahun 2019.
“Polis harus mengenal pasti sumber yang dirujuk oleh Wan Saiful yang mengesahkan siasatan forensik ke atas video tersebut.
“Sekiranya benar dakwaan Wan Saiful, maka AMK Wilayah Persekutuan menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang terlibat,” kata Asheeq Ali dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata demikian selepas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan membangkitkan kembali dakwaan salah laku membabitkan Setiausaha Agung partinya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali berkaitan satu video yang tular pada tahun 2019 yang didakwa mirip Azmin .
Justeru kata Asheeq Ali, lebih mengejutkan lagi, Wan Saiful turut mendedahkan bahawa selepas konvensyen Bersatu tahun lepas, beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan adalah tulen.



