KUALA LUMPUR – Pemimpin Bersatu Bahagian Tasek Gelugor mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab dan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini.
Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor Azmi Alang menegaskan, kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah menjatuhkan maruah parti serta menjejaskan kredibiliti perjuangan yang dibawa bersama.
“Seorang wakil rakyat seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat, membawa hujah berasaskan fakta dan solusi, bukannya mengulang retorik murahan demi kepentingan peribadi.
“Tindakan beliau (Wan Saiful) jelas menunjukkan bahawa beliau lebih mementingkan publisiti diri daripada memperjuangkan nasib rakyat.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan individu seperti ini terus merosakkan imej parti.
“Saya mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas, termasuklah memecat beliau, demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan kita,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kata Azmi, tingkah laku Wan Saiful hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting.
“Rakyat melihat beliau lebih sibuk mencetuskan sensasi daripada menawarkan sebarang cadangan bernas.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia merugikan kita dalam jangka masa panjang.
“Kita mesti berani membuat keputusan yang tepat, walaupun pahit,” ujar Adun Telok Ayer Tawar itu lagi.
Menurut beliau, pemimpin yang gagal menunjukkan akhlak, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan bukan sahaja melemahkan semangat akar umbi, malah memberi peluru kepada pihak lawan
untuk menyerang kita.
“Demi kelangsungan parti dan keyakinan rakyat, tindakan tegas termasuk pemecatan adalah satu-satunya jalan keluar.
“Rakyat sedang menilai. Jika kita gagal bertindak, parti akan dilihat lemah dan berkompromi dengan kelakuan tidak bermoral yang merosakkan perjuangan,” tegasnya.



