KUALA LUMPUR – Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris menjangkakan risiko ketirisan subsidi petrol RON95 sekiranya wujud amalan “pump-on-behalf”, di mana individu yang layak menggunakan MyKad mereka untuk mengisi minyak bagi pihak yang tidak layak seperti warga asing.
Beliau menyelar niat asal Kerajaan Madani kononnya ingin melaksanakan subsidi bersasar namun kini lebih kepada ‘tersasar’.
“Paling ditakuti, dibimbangi dan keresahan adalah penggunaan MyKad hanya semata-mata hendak membeli petrol di stesen minyak. Kerajaan ingat rakyat akan berebut-rebut mengambil kesempatan atas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI95.
“Rakyat tidak mudah tertipu, ditipu, menipu atau sebagainya, seolah-olah perasaan rakyat terus dibolak-balikkan kononnya inilah mekanisme terbaik bagi mendapat harga minyak petrol yang rendah.
“Mungkin tujuan itu nampak murni untuk menyekat ketirisan berisiko tetapi adakah kerajaan cakna sebagai contohnya amalan “pump-on-behalf”, di mana individu yang layak menggunakan MyKad mereka untuk mengisi minyak bagi pihak yang tidak layak seperti warga asing.
“Umpamanya sistem pengesahan MyKad di pam stesen minyak, walaupun disepadukan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), pada asasnya hanya mengesahkan identiti pemegang kad dan bukannya kenderaan yang diisi,” katanya.
Menurut Exco Terengganu itu, soalnya sekarang adakah rakyat sanggup pula ditapis halus dengan mekanisme tambahan seperti padanan MyKad dengan nombor pendaftaran kenderaan, had transaksi harian, larangan penggunaan ‘jerrycan’, serta analitik masa nyata bagi mengesan corak isian yang mencurigakan?
“Hak rakyat seolah-olah dinafikan dan disusahkan pula dengan sistem-sistem sebegini.
“Kalau hendak cerita soal penguatkuasaan yang lebih tegas, seperti mengenakan kompaun terhadap perantara dan stesen minyak yang cuai, ini semua masih tata- kelaut, masih lemah dan longgar.
“Sedangkan di pintu masuk utama negara pun bolos, tiris dan berlaku penyelewengan yang sangat ketara, inikan pula rakyat marhaen yang semata-mata hendak mendapat hak mereka sahaja,” ujar beliau.



