2.4 juta pemegang lesen memandu tamat tempoh tak layak nikmati BUDI95

KUALA LUMPUR – Kira-kira 15 juta Lesen Memandu Kompetan (CDL) masih aktif dan sejumlah 925,421 daripadanya telah tamat tempoh lesen yang tidak melebihi tiga tahun namun masih layak mendapat subsidi petrol RON95 RM1.99.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagaimanapun berkata, terdapat sejumlah 2.4 juta pemegang lesen memandu berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Jelas beliau, golongan itu tidak layak mendapat manfaat menerusi penyasaran subsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Berdasarkan rekod terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pecahan yang telah tamat tempoh lesennya tidak melebihi tiga tahun membabitkan 551,668 untuk tempoh tamat setahun, 219,092 (dua tahun) dan 154,641 yang tamat hingga tiga tahun.

“Menerusi pelaksanaan BUDI95 oleh Kementerian Kewangan telah mengumumkan syarat-syarat yang melibatkan subsidi RON95 iaitu kepada semua warga negara Malaysia dengan menggunakan MyKad tetapi dengan syarat mereka mempunyai lesen memandu yang sah iaitu mereka pembaharui lesen dan masih aktif.

“Tetapi lesen yang masih aktif ini juga termasuk yang mereka belum perbaharui sehingga tiga tahun dan masih dianggap sebagai aktif dalam sistem kita dan masih layak mendapat subsidi di bawah BUDI95,” katanya di Putrajaya pada Rabu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan BUDI95 yang dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah sahaja.

Golongan itu akan mendapat manfaat harga petrol RON95 yang diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September depan dengan had 300 liter sebulan.

Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Mengulas lanjut, Anthony Loke menambah, mana-mana lesen yang tidak diperbaharui lebih daripada tiga tahun dikira tidak lagi aktif dan mereka tidak akan layak mendapat subsidi petrol itu,” lapor MalaysiaGazette pada Rabu.

“Dalam hal ini, pemegang CDL yang masih aktif termasuk pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen memandu bagi mengelak diwajibkan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).

“Untuk makluman semua, sejak pengumuman berkaitan Budi95 sejak 22 September lalu, JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran urus niaga seperti aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ seluruh negara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat