Kerajaan gagal laksana subsidi bersasar, M40 di bandar ditekan – MUDA

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menegaskan bahawa kerajaan mesti kembali kepada prinsip asal subsidi bersasar yang adil, telus dan konsisten.

Ketua Penerangan MUDA Leben Siddarth mendakwa kerajaan gagal melaksanakan subsidi bersasar dan kini putar haluan kepada BUDI95.

“MUDA memandang serius keputusan kerajaan untuk melaksanakan skim baharu BUDI95 yang memberikan subsidi penuh RON95 kepada semua rakyat Malaysia bermula 30 September ini.

“Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, telah berulang kali menegaskan bahawa kerajaan akan menggunakan sistem PADU untuk menentukan kelayakan penerima subsidi.

“Janji subsidi bersasar ini dianggap sebagai langkah penting untuk memastikan keadilan sosial dan mengurangkan kebocoran. Namun, keputusan terbaru jelas menunjukkan kegagalan kerajaan mencari mekanisme yang tepat, lalu memilih jalan populis yang menjejaskan disiplin fiskal negara,” katanya.

Justeru katanya, MUDA menegaskan bahawa kerajaan mesti kembali kepada prinsip asal subsidi bersasar yang adil, telus dan konsisten.

“Keputusan tergesa-gesa seperti ini hanya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menguruskan ekonomi negara dengan berhemah.

“Reformasi fiskal tidak boleh sekadar retorik, tetapi perlu diterjemah melalui dasar yang berani dan bertanggungjawab, bukannya pusingan U yang melemahkan integriti dasar negara,” ujarnya.

Tambah beliau, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, turut menegaskan bahawa pendekatan baharu ini tidak akan memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal negara.

Bahkan katanya, anggaran jumlah subsidi RON95 akan terus berlegar sekitar RM10 hingga RM15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026 kerana kuota diberikan tanpa mengambil kira pendapatan.

“Lebih membimbangkan, pengagihan subsidi juga tidak lebih adil berbanding sebelum ini kerana golongan berpendapatan tinggi yang memiliki lebih banyak kenderaan akan tetap menerima manfaat lebih besar daripada golongan berpendapatan rendah.

“Kaedah pelaksanaan ini juga akan menekan keluarga M40 di kawasan bandar, khususnya mereka yang menggunakan lebih daripada 300 liter petrol sebulan untuk berulang-alik bekerja.

“Sementara itu, proses pembelian petrol dijangka menjadi lebih rumit dengan keperluan pengesahan kad pengenalan, dan risiko ketirisan baharu turut wujud apabila kuota subsidi yang tidak digunakan boleh disalahguna atau dijual di pasaran gelap.

“Semua ini menunjukkan bahawa apa yang dinamakan “penyasaran semula” sebenarnya hanyalah langkah mengehadkan subsidi, bukan menyalurkannya dengan lebih tepat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat