KUALA LUMPUR – Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur bukan tanah rizab Melayu (MAS) seperti yang didakwa oleh segelintir penduduk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan, semakan awal mendapati kawasan berkenaan tidak termasuk dalam kategori tanah rizab Melayu, namun perkara itu kini dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk diputuskan secara muktamad.
“Setakat apa yang kita dapat tahu itu memang bukan tanah MAS. Itu yang kita tahu tapi sekarang ini semua pembuktian telah diberikan kepada mahkamah untuk ditentukan,” katanya pada sidang media ketika melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, lapor MalaysiaGazette pada Selasa.
Zaliha berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru yang menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Menjawab perkara tersebut, Zaliha berkata, status tanah berkenaan perlu difahami berbeza dengan tanah rizab Melayu.
“Itu sebenarnya seperti yang saya pernah sebut sebelum ni bahawa tanah Kampung Sungai Baru ini atas tindakan yang kita ambil itu ialah berada di luar kawasan MAS.
“Jadi kalau bukan tanah MAS itu tentu dah ada sekatan-sekatan yang berbeza berbanding dengan tanah MAS atau Tanah Rizab Melayu,” jelasnya.
Zaliha menambah, kerajaan tetap mengambil berat kepentingan penduduk Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru, selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya hak dan kepentingan mereka dipelihara.
“Saya yakin bahawa seperti mana yang penduduk mahukan, seperti mana yang Tuanku Sultan Selangor selalu sebut juga bahawa kepentingan orang Melayu itu mesti dijaga. Itu sudah pastinya kita mengambil perhatian dan mengambil berat tentang perkara ini,” ujarnya.
Ahad lalu, Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu.
Pengerusinya, Sanita Yunus berkata, perkara itu terbukti melalui perjanjian jual beli antara pemilik rumah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.
Katanya, rumah yang dibeli mereka juga berstatus pajakan selama 99 tahun dan bukannya hak milik kekal.



