KUALA LUMPUR – Kejadian sekumpulan pelajar lelaki mengangkat rakan mereka dalam keadaan terkangkang sehingga terkena tiang yang tular di media sosial telah diklafikasikan kes ini sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD Miri) mengambil maklum berhubung penularan satu rakaman video berdurasi 13 saat di media sosial yang memaparkan kejadian yang telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi berhubung kemungkinan berlakunya kejadian buli.
Menurutnya, pada 23 September 2025, seorang pelajar yang didakwa sebagai mangsa dalam video berkenaan juga hadir bersama ibu bapanya membuat laporan polis.
Pelajar tersebut menafikan bahawa dirinya dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian itu hanyalah gurauan bersama rakan-rakan pelajar yang mengambil jurusan automotif sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September 2025.
Tindakan rakan-rakannya tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan.
Mohd Farhan berkata, timbalan pengarah hal ehwal pelajar sebuah institusi pengajian di Miri tersebut telah membuat siasatan awal di peringkat institut dan mengesahkan kejadian tersebut merupakan gurauan yang keterlaluan dan bukan insiden buli, serta mengesahkan ia berlaku di dalam kawasan institusi berkenaan.
Bahkan, katanya, pihak institut akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua pelajar-pelajar yang terlibat dan kini masih dalam siasatan kementerian yang terlibat.
Mohd Farhan menambah, pihak polis memandang serius dan tegas terhadap sebarang kes jenayah buli kerana ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal, trauma psikologi serta menggugat keharmonian masyarakat.
“Sehubungan itu, pihak polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa dan kesemua pelajar yang terlibat berumur dalam lingkungan 18 tahun sehingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklafikasikan kes ini sebagai NFA,” katanya.
Menurut beliau, IPD Miri akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kes tersebut sekiranya terdapat laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, lapor MalaysiaGazette.
Sekiranya terdapat maklumat lain yang relevan, orang awam diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Miri bagi tujuan pemantauan dan tindakan sewajarnya.
Jelasnya, PDRM, khususnya IPD Miri, menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan awam Terceira dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang melibatkan elemen jenayah, khususnya berkaitan kes buli.



