JPN tawar perbaharu cip MyKad rosak percuma mula 23 Sept

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 hingga 7 Oktober 2025.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.

“Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak.

“Trend permohonan ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan – sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos.

“Manakala bagi bulan September, sehingga 21 haribulan sahaja, JPN telah menerima sebanyak 22,858 permohonan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Saifuddin lagi, berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.

“Oleh yang demikian, penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 sehingga 7 Oktober 2025 ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.

“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95,” ujarnya.

Saifuddin menambah lagi, Kerajaan Madani berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat
Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir.

Beliau berkata, ini seiring dengan pengumuman Perdana Menteri hari ini mengenai pelaksanaan inisiatif BUDI95 buat rakyat Malaysia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat