Walaupun tak layak dapat subsidi, pekerja asing sah perlu dilayan adil -ABIM

KUALA LUMPUR – Langkah penyasaran subsidi berpotensi menimbulkan kesan rantaian terhadap kos logistik, makanan asas, dan pengangkutan awam.

Justeru, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menekankan keperluan kerajaan menyediakan langkah mitigasi yang jelas, termasuk menggunakan penjimatan subsidi untuk menyokong tambang awam serta menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.

“ABIM turut mengingatkan bahawa dasar ini mesti dilaksanakan secara adil dan berperikemanusiaan, termasuk terhadap pekerja migran sah yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Walaupun mereka tidak layak menerima subsidi warganegara, kerajaan wajar menjelaskan mekanisme yang tidak membebankan pekerja berpendapatan rendah daripada kalangan ini agar mereka tidak menanggung kos berlebihan yang akhirnya boleh menjejaskan sektor ekonomi tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar Fahmi, ABIM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI RON 95 (BUDI 95).

“Langkah ini dilihat menepati janji kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia, di samping menangani ketirisan yang selama ini turut menguntungkan syarikat besar serta golongan bukan warganegara.

“Walau bagaimanapun, ABIM berpandangan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan rentan.

“Subsidi petrol sememangnya menjadi nadi kepada mobiliti rakyat dan akses ekonomi, maka kerajaan perlu memastikan manfaatnya lebih dirasai oleh kelompok yang paling bergantung kepada bahan api ini, termasuk golongan B40, pekerja gig, petani, dan nelayan,” katanya.

Selain itu Ahmad Fhami memberitahu, keberkesanan pelaksanaan BUDI95 amat bergantung kepada infrastruktur sokongan seperti sistem MyKad, pembaca kad, dan aplikasi digital.

“Justeru, ABIM menggesa agar semua sistem berfungsi dengan baik sebelum tarikh kuat kuasa bagi mengelakkan kekecohan di stesen minyak.

“Kerajaan juga wajar mempertimbangkan tempoh percubaan yang lebih panjang, khususnya di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi,” katanya.

Dalam konteks yang lebih luas, ABIM berpandangan masalah ketirisan subsidi bukan hanya melibatkan petrol semata-mata, tetapi juga subsidi pukal lain seperti tol, beras, gula, elektrik, dan minyak masak yang turut dinikmati oleh bukan warganegara atau kumpulan yang tidak layak.

Justeru katanya, kerajaan wajar menggerakkan reformasi menyeluruh ke arah model subsidi yang lebih pintar (smart targeting), agar manfaatnya benar-benar disasarkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Sehubungan itu, ABIM mencadangkan agar kerajaan memperkukuh penggunaan pendigitalan pintar dan integrasi data antara JPN, JPJ, Imigresen dan agensi berkaitan supaya kelayakan subsidi dapat disahkan secara automatik di belakang sistem tanpa membebankan pengguna di stesen minyak.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan dan mengelakkan kerumitan manual, malah akan menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk melaksanakan model subsidi pintar (smart subsidies) pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau ABIM menegaskan bahawa dasar penyasaran subsidi RON95 ini mesti dilihat bukan semata-mata sebagai langkah fiskal, tetapi sebagai dasar yang mencerminkan nilai keadilan sosial, keterangkuman, dan penyantunan rakyat. Subsidi bahan api adalah hak rakyat yang wajib dilindungi oleh negara.

“Pelaksanaan yang adil, telus, dan berpihak kepada rakyat akan memperkukuh iltizam Kerajaan Madani untuk memartabatkan Malaysia sebagai negara sejahtera dan bermaruah, serta menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat