CANBERRA – Australia hari ini mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, dalam langkah yang diselaraskan bersama Kanada dan United Kingdom.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Menteri Luar, Penny Wong dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu menzahirkan sokongan terhadap aspirasi lama rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri, selain menghidupkan kembali momentum ke arah penyelesaian dua negara.
“Pengiktirafan Australia terhadap Palestin hari ini, bersama Kanada dan United Kingdom, adalah sebahagian daripada usaha antarabangsa berkoordinasi untuk membina momentum baharu bagi penyelesaian dua negara, bermula dengan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan yang diambil pada 7 Oktober 2023,” menurut kenyataan itu.
<iframe src=”https://www.facebook.com/plugins/post.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2FAlboMP%2Fposts%2Fpfbid0tswJJCR9KcWLVmF4Mdx4tgXPLuYJsBaqg7sz1WJZHq6EHrnLiGSdnPiVDtJD4qPtl&show_text=true&width=500″ width=”500″ height=”591″ style=”border:none;overflow:hidden” scrolling=”no” frameborder=”0″ allowfullscreen=”true” allow=”autoplay; clipboard-write; encrypted-media; picture-in-picture; web-share”></iframe>
Mereka menegaskan, langkah tersebut mencerminkan komitmen lama Australia terhadap penyelesaian dua negara sebagai jalan tunggal ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan bagi rakyat Israel dan Palestin.
Kenyataan itu turut menyebut, Presiden Pihak Berkuasa Palestin telah memperbaharui pengiktirafan terhadap hak Israel untuk wujud, selain memberi jaminan terus kepada Australia dengan komitmen mengadakan pilihan raya demokratik serta melaksanakan pembaharuan besar dalam kewangan, tadbir urus dan pendidikan.
“Organisasi pengganas Hamas tidak boleh mempunyai sebarang peranan dalam Palestin,” tegas kenyataan itu lagi.
Australia juga memaklumkan, hubungan diplomatik penuh termasuk pembukaan kedutaan akan dipertimbangkan selepas pihak berkuasa Palestin membuktikan kemajuan dalam reformasi.
Dalam masa sama, usaha antarabangsa sedang dijalankan bagi membangunkan pelan damai yang kredibel, merangkumi pembinaan semula Gaza, pengukuhan kapasiti negara Palestin serta jaminan keselamatan untuk Israel.
Kepimpinan negara Arab dan Amerika Syarikat turut disifatkan penting bagi menjayakan usaha itu.
“Australia akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk memperkukuh langkah pengiktirafan ini, dan membawa Asia Barat lebih dekat kepada keamanan serta keselamatan berkekalan, yang menjadi harapan dan hak semua manusia,” kata kenyataan bersama itu.



