Selangor mengorak langkah baharu dalam pembangunan ekonominya dengan memberi tumpuan kepada sektor kreatif sebagai sumber pertumbuhan masa depan. Melalui penganjuran Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) pada 23 hingga 24 September ini, kerajaan negeri mahu menjadikan kreativiti sebagai teras baharu dalam merangka masa depan negeri paling maju di Malaysia.
Bertemakan “Re:Imagine Selangor Creativity is the New Economy”, ekspo yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam ini bakal disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Ia menghimpunkan pemain industri, pelabur, agensi kerajaan, akademia dan bakat kreatif dalam satu ekosistem untuk merangsang kerjasama rentas sektor.
Dalam sidang medianya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, menegaskan bahawa SCEE25 bukan acara pameran biasa, sebaliknya platform strategik untuk membina ekosistem ekonomi kreatif yang mampan. “Ekspo ini bukan sekadar sebuah ekspo, tetapi satu ikhtiar membina ekosistem keusahawanan kreatif yang mampan dan inklusif.
Ekspo ini menandakan detik penting dalam usaha kerajaan negeri menjadikan kreativiti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 yang akan dilancarkan pada Sidang Dewan Negeri November nanti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dasar ekonomi kreatif pernah diperkenalkan di peringkat persekutuan lebih sedekad lalu, namun Selangor kini tampil sebagai negeri pertama yang melaksanakannya secara lebih inklusif.
“Di Selangor, kita mengambil pendekatan serius menyantuni usahawan kreatif. Malah, inisiatif ini selaras dengan RMK-13, di mana Perdana Menteri menekankan kepentingan pembangunan ekonomi jingga atau orange economy,” jelas beliau.

Sepanjang dua hari penganjurannya, SCEE25 akan dipenuhi dengan perbincangan dasar, pelancaran dana mikro untuk usahawan kreatif, persembahan seni serta sesi pemadanan perniagaan secara langsung dengan pelabur dan agensi berkaitan. Apa yang membezakan ekspo ini, menurut YB Najwan, adalah kesungguhannya menghubungkan seni dan budaya dengan peluang ekonomi sebenar.
“Ekspo ini bukan sekadar tempat jual barang. Ia ruang dialog, pitching, persembahan dan business matching yang membuka peluang sebenar kepada pemain industri,” katanya.
Ekonomi kreatif yang digerakkan di Selangor meliputi tiga cabang utama iaitu seni budaya, multimedia dan warisan. Dengan trend global menunjukkan sektor kreatif sebagai penyumbang besar kepada KDNK, kerajaan negeri yakin potensi itu dapat dimanfaatkan untuk menjana pertumbuhan baharu.
“Kami yakin SCEE25 mampu membuka peluang baharu serta melahirkan kerjasama strategik untuk membolehkan usahawan kreatif Selangor berkembang ke tahap lebih tinggi. Sasaran kita jelas: RM20 bilion output menjelang 2035,” ujar YB Najwan dengan penuh keyakinan.
Lebih daripada sekadar angka, kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan ekonomi kreatif akan memartabatkan identiti kebudayaan, menjana pekerjaan untuk belia dan menjadikan Selangor sebagai hab kebudayaan serantau.
“Saya berharap SCEE25 bukan sahaja menjadi platform strategik pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pentas inspirasi untuk belia dan masyarakat menjadikan kreativiti sebagai asas penyatuan sosial, pembentukan identiti negeri, dan pembangunan masa depan Selangor,” tambah beliau.
SCEE25 bakal menjadi simbol perubahan hala tuju Selangor. Jika berjaya direalisasikan, kreativiti bukan sahaja akan meningkatkan daya saing ekonomi, tetapi juga memperkukuh jati diri negeri yang kini melangkah ke era baharu dengan lebih berani.
Maklumat Expo
Tarikh: 23–24 September 2025
Masa: 9.00 Pagi – 4.30 Petang
Tempat: Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam
Masuk Percuma – Daftar di selangorcreative.com



