CYBERJAYA 19 Sept – Beberapa laporan antarabangsa mendakwa aplikasi AppCloud, yang dibangunkan oleh syarikat teknologi Israel, IronSource (kini sebahagian daripada Unity), dipasang secara automatik dalam sejumlah telefon pintar Samsung, khususnya model Galaxy A dan Galaxy M.
Menurut laporan portal hak digital SMEX, yang berpangkalan di Asia Barat dan Afrika Utara (WANA), aplikasi tersebut hadir sebagai pra-pasang (pre-installed app) dan sukar dipadamkan tanpa akses root, selain kerap muncul semula selepas kemas kini sistem.
“AppCloud, yang dibangunkan oleh syarikat Israel IronSource, hadir sebagai aplikasi pra-pasang pada telefon Samsung yang dijual di rantau WANA. Pengguna melaporkan bahawa aplikasi ini tidak boleh dinyahpasang tanpa root, dan ia sering muncul semula selepas system updates,” menurut laporan SMEX.
Selain itu, satu surat terbuka SMEX kepada Samsung turut menggesa syarikat teknologi Korea Selatan itu menghentikan pemasangan paksa aplikasi seumpama AppCloud yang dianggap melanggar hak pengguna terhadap digital security dan privasi.
Portal teknologi lain seperti Sunna Files juga melaporkan perkara serupa, menyebut AppCloud berfungsi sebagai sistem cadangan aplikasi, namun dalam masa sama menimbulkan persoalan mengenai pengumpulan data pengguna termasuk alamat IP dan device fingerprint.
Di forum dalam talian seperti Reddit, ramai pengguna Samsung mengadu aplikasi itu dianggap sebagai “bloatware” dan sukar untuk dinyahaktifkan walaupun selepas tetapan dibuat.
Setakat ini, Samsung dan IronSource masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan tersebut.
Pakar keselamatan siber menasihatkan pengguna supaya menyemak permissions aplikasi, mematikan penggunaan data latar belakang, serta mengemaskini sistem operasi secara berkala bagi mengurangkan risiko kebocoran data.
⸻
📌
SMEX (Social Media Exchange) ialah sebuah organisasi hak digital bebas yang berpangkalan di Beirut, Lubnan. Ia memberi tumpuan kepada advokasi kebebasan internet, privasi, dan hak digital di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (WANA). Organisasi ini aktif menjalankan penyelidikan, latihan serta kempen kesedaran berkaitan isu keselamatan digital dan kebebasan bersuara.



