Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang telah melaksanakan ‘Ops Hurricane’ September 2025 melibatkan pemeriksaan di beberapa jeti terpilih di Selangor, baru-baru ini.
Seramai 50 anggota penguat kuasa daripada ketiga-tiga agensi itu telah terlibat dalam menjayakan operasi ini, merangkumi pergerakan unsur darat dan laut secara serentak bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan di lapangan.
Operasi ini dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat risikan dan sebagai usaha membanteras serta mencegah penggunaan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Antaranya, rawa sorong dan bubu naga, selaras dengan peruntukan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 (Pindaan 2024).
Menurut Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar, operasi ini adalah langkah proaktif dalam memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.
“Sebarang aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang dilarang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam kelestarian ekosistem laut dan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.
DOF bersama agensi-agensi sahabat
akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati ingkar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, antara objektif ‘Ops Hurricane’ ialah mencegah dan membanteras penggunaan peralatan menangkap ikan yang dilarang, menyita vesel serta peralatan yang melanggar peruntukan undang-undang, serta memperkukuh kerjasama strategik antara DOF, APMM dan PPM.
Menurut beliau lagi, jumlah sitaan sepanjang ‘Ops Hurricane’ September 2025 termasuk 7 unit vesel enjin rotor beserta peralatan menangkap ikan rawa sorong di Bagan Nakhoda Omar, 4 set peralatan menangkap ikan rawa sorong di Jeti Nelayan Sungai Nipah, serta 450 unit bubu naga di Bagan Parit Baru, Sungai Air Tawar, ”katanya.
Ujarnya, kesemua barang sitaan keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM97, 000 telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta 317.
“Penguatkuasaan undang-undang perikanan dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, kaum atau latar belakang.
“Mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peraturan tetap akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak yang tidak dikesan pada operasi kali ini tetap akan dipantau, kerana penggunaan peralatan dilarang adalah kesalahan serius di bawah Akta 317, ”ujarnya lagi.
Tegasnya, penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia dalam memerangi aktiviti Illegal, Unreported and Unregulated Fishing (IUUF) selaras dengan perjanjian antarabangsa termasuk Comprehensive and Progressive
Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan Fisheries Subsidies Agreement (FSA).
“Komuniti nelayan diseru agar terus mematuhi undang-undang dan menjauhi penggunaan peralatan yang dilarang demi kelestarian sumber perikanan negara serta kesejahteraan masyarakat pesisir, ”tegasnya lagi. -SUARA.TV



