KUALA LUMPUR,– UMNO Bahagian Seputeh mengumumkan keputusan menolak semua jawatan dalam Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi penggal baharu 2025–2028, selepas mendakwa Jabatan Wilayah Persekutuan gagal menunaikan janji untuk memberi ruang kepada parti itu berperanan di kawasan Seputeh.
Setiausaha UMNO Bahagian Seputeh, Nurul Hazwani Haslan, berkata keputusan itu dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Seputeh pada 6 Ogos lalu.
Pengumuman ini turut menambah tekanan politik di Wilayah Persekutuan apabila ia hadir hanya seminggu selepas UMNO Bahagian Batu mengisytiharkan keputusan memutuskan semua hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan.
UMNO Bahagian Seputeh diketuai oleh Datuk Mohd Razlan Rafii, yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Nurul Hazwani, meskipun UMNO Seputeh telah menghantar senarai pencalonan calon-calon yang layak pada 20 Mei 2025, ia langsung tidak dipertimbangkan.
Sebaliknya, katanya, lantikan dibuat berdasarkan keanggotaan kelab dan persatuan di Seputeh, tanpa mengambil kira komposisi parti seperti yang telah ditetapkan.
“Semasa penggal pertama 2024–2025, UMNO Seputeh menerima dengan sabar apabila tidak diberikan sebarang jawatan, kerana ketika itu pihak Jabatan Wilayah Persekutuan memberi janji bahawa lantikan akan dilakukan pada penggal kedua.
Namun janji itu gagal ditunaikan dan jelas menunjukkan Jabatan Wilayah Persekutuan tidak mahu penglibatan UMNO dalam menjalankan peranan berbakti kepada warga Seputeh,” katanya.
UMNO Seputeh menegaskan isu ini bukanlah soal kepentingan individu, sebaliknya perjuangan untuk memastikan semua komponen dalam Kerajaan Perpaduan diberikan peluang yang adil.
Menurut Hazwani, Perdana Menteri sendiri sebelum ini telah membuat penetapan bahawa lantikan MPPWP mesti mengikut komposisi parti dalam kerajaan, namun perkara itu tidak dilaksanakan di Parlimen Seputeh dan beberapa kawasan lain.
“Ini sudah menjadi kali kedua lantikan MPPWP dibuat dalam tempoh pemerintahan Kerajaan Perpaduan, tetapi keadilan dalam pengagihan masih tidak dicapai.
Kenyataan bahawa UMNO tidak diberikan ruang untuk berperanan di Wilayah Persekutuan, khususnya di Seputeh, adalah benar belaka. Perkara ini bukan tentang perjuangan individu, sebaliknya perjuangan bersama untuk mengambil tempat dalam menjuarai rakyat,” tegasnya.
UMNO Seputeh sekali lagi mengingatkan bahawa mereka tidak menolak kerjasama demi rakyat, tetapi pengagihan peranan mesti dilakukan secara telus dan adil.
Penolakan jawatan dalam MPPWP kali ini menjadi isyarat jelas bahawa parti itu enggan sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya mahu dilibatkan secara bermakna dalam proses membuat keputusan serta pelaksanaan program masyarakat di Wilayah Persekutuan.
Keputusan UMNO Seputeh ini juga menimbulkan persoalan mengenai masa depan hubungan UMNO Wilayah Persekutuan dengan PH, memandangkan pentadbiran Wilayah Persekutuan kini diketuai oleh Menteri dari PH, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.–– Suara.TV



