KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju projek Kampung Sungai Baru perlu segera menyiapkan dua blok perumahan seperti dijanjikan sejak 8 tahun lalu bagi membolehkan penduduk yang berpindah sementara kembali ke penempatan asal.
Tegas Johari, ia penting untuk memulihkan keyakinan penduduk bahawa pemaju mempunyai kedudukan kewangan kukuh untuk menyiapkan unit baharu dijanjikan kepada penduduk yang berpindah begitu lama.
“Lebih 300 penduduk sudah berpindah, hanya tinggal 14 keluarga di rumah teres yang belum keluar.
“Pemaju kena siapkan dahulu dua blok baharu dengan menggunakan kawasan blok flat lama yang telah diroboh dan diratakan,” katanya menurut Kosmo selepas majlis pelancaran MSPO Impact Alliance di Kuala Lumpur.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, kegagalan memulakan pembinaan semula selepas tempoh menunggu yang terlalu lama menimbulkan keresahan penduduk.
“Jika pemaju tidak berkemampuan pergi jumpa UDA untuk berbincang. Ini sudah 8 tahun. Tanyalah pemaju, bila mahu mulakan?” katanya ketika diminta mengulas tempoh pembinaan itu perlu disiapkan.
“Ketika saya menjadi wakil rakyat pada PRU13, saya menasihatkan mereka supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan dengan pemaju kerana tidak ada kekuatan kewangan dan pengalaman.
“Namun, selepas saya kalah pada PRU14, pemaju mula bertindak dan 67 peratus penduduk menandatangani persetujuan, walaupun 33 peratus lagi menolak. Inilah punca masalah yang timbul,” tegas Johari.
Katanya, Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan secara tidak wajar bagi membolehkan pemaju menggabungkan rumah flat dan teres untuk pembangunan semula walaupun ada penduduk menolak.
Sementara itu, Johari berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.
Sebelum ini, baki 14 penduduk Kampung Sungai Baru enggan mengosongkan kediaman kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.
Pada 2021, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.
Arahan pengosongan minggu lalu itu adalah percubaan kedua pihak pemaju sejak Julai 2025 untuk mengeluarkan 14 penduduk di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan Kampung Baru.



