KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan saran agar Kampung Baru diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pemimpin Bersatu itu mencadangkan perkara berkenaan dalam semangat mendaulatkan tanah kurniaan warisan Kesultanan Selangor demi mengangkat maruah Melayu di ibu negara Kuala Lumpur.
“Saya dengan penuh takzim dan rendah diri ingin menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, atas titah penuh hikmah Baginda baru-baru ini yang menekankan kepentingan mempertahankan warisan bangsa dan kesinambungan tradisi negeri.
“Dalam semangat mendaulatkan kurniaan nenda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang sejak awal telah meletakkan asas pengiktirafan dan pemeliharaan kawasan Kampung Baru serta kampung-kampung tradisional Melayu, maka usul ini dikemukakan agar kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mewartakan kawasan-kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujarnya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Memperincikan cadangannya itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, kampung Melayu, kampung baru dan kampung adat bukan sekadar penempatan fizikal, tetapi nadi identiti bangsa dan di situlah berakar umbi budaya, seni bina, tradisi, adat resam dan sistem kemasyarakatan yang menjadi asas kepada kelangsungan jati diri orang Melayu dan Malaysia seluruhnya.
Justeru beliau berkata, mengangkat statusnya ke peringkat UNESCO adalah satu langkah bersejarah yang bukan sahaja melindungi warisan ini daripada ancaman pembangunan yang tidak terkawal, bahkan meletakkannya dalam peta dunia sebagai khazanah sejagat yang diiktiraf.
“Menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, kita perlu melihat perkara ini bukan semata-mata dari kaca mata estetika atau pelancongan, tetapi sebagai tanggungjawab moral dan amanah generasi untuk mempertahankan legasi warisan yang dikurniakan oleh nenda Baginda dan dipusakai hingga kini.
“Saya telah mengemukakan usul ini dan akan sampai ke pengetahuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat. Dengan itu, Dewan ini didesak untuk mengambil ketetapan supaya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara serta agensi berkaitan segera menggerakkan usaha permohonan rasmi kepada UNESCO, di samping memperkukuh kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan institusi-institusi tradisi di seluruh negara,” kata beliau.



