Syarat Jadi PM, Jangan Gila, PAS Mampu Terajui Putrajaya – Mohd Amar

ALOR SETAR, 13 Sept – PAS diyakini berupaya melahirkan Perdana Menteri daripada kalangan pemimpinnya sendiri jika diberi mandat rakyat, demikian tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau menegaskan, ahli parti tidak sepatutnya meragui kebolehan sendiri, sebaliknya perlu yakin bahawa parti itu berpotensi memimpin kerajaan persekutuan. Katanya, pengalaman luas dalam pentadbiran bukanlah syarat utama untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Mohd Amar mengambil contoh kepimpinan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang tetap berjaya mentadbir negeri itu dengan berkesan walaupun tidak memiliki latar belakang pentadbiran konvensional.

“PAS kini mempunyai 43 Ahli Parlimen. Tidak munasabah jika dikatakan tiada seorang pun yang layak menjadi Perdana Menteri.

“Bagi saya, syarat terpenting hanyalah jangan gila. Kalau waras dan berpandukan prinsip Islam, insya-Allah PAS mampu membawa negara ke arah yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Muslimat PAS ke-65 di Kompleks PAS Kedah, memetik portal berita Free Malaysia Today.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan pentingnya PAS memperluaskan sokongan dalam kalangan bukan Melayu. Menurutnya, wujud perubahan ketara apabila semakin ramai pengundi, terutamanya masyarakat Cina, secara terbuka mengkritik pentadbiran kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“Kalau dulu, sekitar dua tahun lalu, mereka jarang menyuarakan rasa tidak puas hati. Tetapi selepas lebih tiga tahun kerajaan campuran ini mentadbir, suara kritikan semakin lantang.

“Keadaan ini membuka ruang besar kepada pembangkang, termasuk PAS, untuk menarik sokongan lebih meluas. Peluang seperti ini jangan kita lepaskan,” tambahnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat