Kuala Lumpur, 12 September 2025 – Keunikan dan bakat luar biasa murid-murid istimewa SMK Selayang Bharu mencuri perhatian semua dalam Program Memasak Inklusiviti Chef OKU yang dianjurkan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) bersempena Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Dipimpin oleh Puan Maryati binti Md Khalid, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Selayang Bharu, murid-murid istimewa dari tim SMK Selayang Bharu berpeluang menunjukkan kemahiran memasak yang selama ini diasah di sekolah, namun jarang ditonjolkan di khalayak ramai.
Murid-murid ini berjaya menghasilkan hidangan yang bukan sahaja enak dipandang, tetapi harum dan menggoda deria rasa pengunjung.
Menurut Puan Maryati, “Sebelum ini latihan telah dijalankan di sekolah, tetapi kami tidak berpeluang untuk membuat demonstrasi seperti ini.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Jabatan Warisan Negara kerana memberi peluang kepada murid-murid saya. Mereka dapat merasai pengalaman seperti manusia normal yang biasa, sambil menonjolkan bakat yang selama ini tersembunyi.”
Para pengunjung yang hadir turut memuji hasil masakan anak-anak istimewa ini. Dari masak lemak cili api hingga ke daging salai, aroma dan rasa yang dihasilkan mendapat pujian ramai.
Sementara itu, Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, JWN, menjelaskan tujuan melibatkan murid-murid OKU dalam program ini. “Festival Citarasa Warisan telah dianjurkan beberapa kali, dan ini adalah kali keempat.
Kami ingin memastikan festival ini inklusif, melibatkan semua lapisan masyarakat – daripada golongan tua hingga kanak-kanak, dan daripada semua komuniti. Semua pihak memainkan peranan penting dalam mempromosikan serta mengekalkan warisan kulinari negara.
“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada murid-murid istimewa menunjukkan kemahiran mereka, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepelbagaian bakat yang wujud dalam kalangan OKU. Ia selaras dengan usaha JWN untuk mempromosikan warisan makanan Malaysia kepada generasi muda serta masyarakat umum.”
Festival Citarasa Warisan terus menjadi platform di mana tradisi, bakat dan komuniti bersatu dalam meraikan kekayaan kulinari negara.
Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati pelbagai sajian warisan yang menarik dan merasai sendiri pengalaman unik ini.



