“Kalau nak mansuh matrikulasi, apa kata jadikan sekolah satu aliran juga” – Akmal

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mencabar Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) Tang Yi Ze untuk menjadikan sekolah hanya satu aliran.

Hal ini kerana Presiden UMANY itu menuntut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya piawaian kemasukan ke universiti awam (UA).

“Kalau nak mansuh matrikulasi untuk jadikan stpm syarat tunggal masuk universiti maka kamu bersetuju atau tidak untuk mansuhkan sekolah jenis kebangsaan dan jadikan sekolah hanya ada satu aliran sahaja?

“Kalau tidak bersetuju,jangan sembang nak mansuhkan matrikulasi pula,” bidas Akmal.

Sementara itu Yi Ze dilaporkan berkata, pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik, lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh universiti ternama dunia.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan bahawa ramai pelajar cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 hingga 4.0 masih gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan mereka.

“Seorang pelajar dengan PNGK penuh 4.0 dan markah kokurikulum setinggi 9.45 hanya ditawarkan pilihan kelapan dalam sistem UPU, manakala tiga pilihan utama langsung tidak dipertimbangkan, seolah-olah diketepikan oleh sistem secara sewenang-wenangnya.

“Kami juga menegaskan bahawa silibus STPM adalah jauh lebih mencabar dan ketat berbanding program matrikulasi, serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Namun, pelajar STPM terpaksa bersaing di platform yang sama dengan sejumlah besar pelajar matrikulasi, sekali gus mewujudkan ketidakadilan struktur. Keadaan ini jelas satu bentuk peminggiran sistematik terhadap pelajar STPM,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan dokumen aduan kepada Penolong Pegawai Perhubungan Awam Kanan KPT, Dayang Norakma Shaharuddin, lapor Utusan.

Dalam pada itu, Yi Ze berkata, pihaknya juga menggesa supaya KPT mendedahkan sepenuhnya mekanisme serta data pengagihan kursus pengajian dikendalikan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) bagi setiap sesi pengambilan.

Katanya, pendedahan itu penting agar setiap bakal pelajar jelas memahami sebab mereka ditawarkan kursus-kursus tertentu.

“KPT perlu mengumumkan secara telus semua data dan kaedah penentuan ranking pelajar dalam sistem UPU, termasuk bilangan kuota bagi kursus-kursus popular seperti perubatan, perakaunan dan perundangan.

“Mereka juga perlu dedahkan perincian pecahan kuota mengikut aliran STPM, matrikulasi, asasi, diploma dan A-Level. Ketelusan ini penting agar rakyat dapat berperanan sebagai semak dan imbang terhadap keputusan KPT,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap gesaan dan tuntutan itu dapat memastikan sistem pengambilan pelajar ke UA dapat benar-benar berasaskan merit, sekali gus menjamin keadilan dan ketelusan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat