SHAH ALAM — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Seri Datuk Seri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan bahawa tawaran utama BERSATU kepada rakyat Sabah ialah memastikan 40% hasil negeri dikembalikan kepada rakyat, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan Perkara 112C serta 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata parti juga akan memacu kemajuan negeri, membasmi kemiskinan, memperluas kemudahan infrastruktur asas, meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak, menyediakan peluang pekerjaan lebih baik, menambah pendapatan rakyat dan membela kebajikan rakyat.
“Sebagai tawaran kita kepada rakyat di negeri Sabah, BERSATU akan memperjuangkan hak negeri Sabah untuk mendapatkan 40% hasil dari negeri Sabah dikembalikan kepada negeri
itu.
“Selain itu, BERSATU dan Perikatan Nasional juga akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memacu kemajuan negeri Sabah, membasmi kemiskinan, memperluas kemudahan infrastruktur asas, meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak di negeri Sabah, menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik, menambah pendapatan rakyat dan membela kebajikan
rakyat di negeri Sabah.
“Kami mahu memastikan setiap rakyat Sabah mendapat manfaat daripada pembangunan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Muhyiddin menekankan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi medan utama untuk memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau berkata kejayaan di negeri itu bukan sahaja bergantung kepada manifesto dan tawaran parti, tetapi juga kepada kesepaduan pimpinan dan ahli BERSATU.
“Saya dapat rasakan sentimen rakyat Sabah semakin positif terhadap Perikatan Nasional. Sambutan yang luar biasa ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berjuang.
“Syabas saya ucapkan kepada BERSATU Negeri Sabah khususnya dan semua pimpinan serta ahli parti yang telah turun membantu persiapan pilihan raya di negeri tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan negeri Sabah bukan sekadar janji politik, tetapi usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan, memperluas kemudahan asas, dan meningkatkan peluang pekerjaan bagi generasi muda.
Muhyiddin menegaskan bahawa pencapaian pendidikan anak-anak Sabah juga menjadi fokus utama BERSATU, selaras dengan aspirasi rakyat negeri itu untuk kesejahteraan yang lebih menyeluruh.
“Pendidikan anak-anak Sabah adalah tunjang masa depan negeri. Kita mahu mereka bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mampu bersaing di pasaran kerja global.
“Kita juga akan pastikan kemudahan asas, seperti jalan raya, air bersih dan bekalan elektrik, dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah,” tambahnya.
Dalam ucapan yang sama, beliau menyeru semua ahli BERSATU untuk turun membantu kempen PRN Sabah, menekankan semangat parti untuk terus berjuang demi rakyat dan negara.
“InsyaAllah, semua kita yang ada di sini dan ahli-ahli parti di luar sana akan turun membantu kempen pilihan raya negeri Sabah.
“Kita kasi bagus Sabah! Kasi bagus Sabah! Kasi bagus Sabah,” laungnya.
Presiden BERSATU itu turut menegaskan bahawa perpaduan dalaman parti adalah kunci kekuatan menghadapi PRU-16.
Beliau berkata ahli yang benar-benar cintakan parti tidak akan menjadi batu api, malah berperanan mendamaikan sekiranya berlaku perselisihan di kalangan pimpinan dan ahli.
“Kekuatan mana-mana parti politik terletak pada perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli. Dengan perpaduan, kita boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk menyantuni rakyat dan melaksanakan amanah perjuangan.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan parti lain yang dahulunya besar tetapi rebah kerana berpecah,” ujarnya.



