Malaysia melangkah ke era mobiliti elektrik – GGR Motor perintis perintis transformasi dua roda

Kuala Lumpur – Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam revolusi mobiliti elektrik apabila GGR Motor muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan. Syarikat ini bukan sekadar membangunkan sebuah produk, tetapi sedang mencorak landskap baharu industri automotif dengan menekankan aspek kelestarian, teknologi hijau dan gaya hidup mesra alam.

Kejayaan model sulung Lion G1 yang mencatat ribuan tempahan sejak diperkenalkan pertengahan Julai lalu membuktikan rakyat Malaysia semakin terbuka menerima perubahan. Ini bukan sahaja soal kenderaan, tetapi lambang kepada transformasi sosial, ekonomi, dan ekologi negara.

Jika sebelum ini motosikal dilihat sebagai pengangkutan asas dan murah, kini ia menjadi sebahagian daripada usaha global mengurangkan pelepasan karbon. Lion G1, hasil penyelidikan tempatan, direka dengan menitikberatkan kos mampu milik, kebolehgunaan seharian, serta mesra alam.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, EV tempatan bukan sahaja menyediakan alternatif pengangkutan, malah membawa mesej lebih besar kepada masyarakat.

“Industri motosikal elektrik adalah satu perjalanan ke arah masa depan hijau. Apa yang kami hasilkan bukan semata-mata mesin, tetapi sebahagian daripada ekosistem mobiliti rendah karbon yang akan memberi kesan langsung kepada gaya hidup masyarakat Malaysia,” katanya.

Sokongan kerajaan terbukti apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke kilang pemasangan GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala.

Lawatan yang diketuai Timbalan Pengarah JPJ WP, Eric Jusiang, bersama 25 pegawainya, memberi ruang kepada pihak berkuasa memahami proses pemasangan motosikal elektrik dari dekat. Ia juga menjadi simbol bahawa usaha anak tempatan mendapat perhatian serta sokongan pihak berkuasa.

Malah, bermula 1 September lalu, motosikal Lion G1 boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ, sekali gus memudahkan pengguna yang sudah membuat tempahan. Lebih 6,000 unit dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat.

Sambutan hangat terhadap Lion G1, dengan lebih 2,500 tempahan hanya dalam masa seminggu selepas pelancaran, menjadi tanda jelas perubahan pola pemilikan kenderaan di Malaysia.

Melihat potensi besar ini, GGR Motor menyasarkan 30,000 unit pengeluaran menjelang akhir 2025, sekali gus membuka ruang pekerjaan baharu dan menjana ekonomi hijau.

Sebuah kilang pemasangan baharu juga dirancang dibina di utara Semenanjung di atas tanah seluas lebih satu ekar, yang bakal menjadi pusat pengeluaran utama. Ia dijangka mencipta sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan baharu, terutamanya dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

Kejayaan GGR Motor tidak datang bersendirian. Syarikat itu membina rangkaian kerjasama strategik dengan pemain industri seperti PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Kerjasama ini penting untuk membangunkan tenaga kerja mahir, penyelenggaraan, rantaian bekalan, serta memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik. Ia juga memastikan pengguna motosikal elektrik mendapat sokongan penuh dari segi teknikal dan servis selepas jualan.

Perubahan ke arah kenderaan elektrik tidak hanya berfokus pada teknologi, tetapi juga gaya hidup. Dengan kos penyelenggaraan yang lebih rendah, operasi lebih senyap, serta pelepasan sifar asap, motosikal elektrik semakin menjadi pilihan terutama dalam kalangan golongan muda yang peka terhadap isu alam sekitar.

Bagi ramai pengguna, Lion G1 dilihat sebagai simbol gaya hidup moden mobiliti mampu milik tanpa menjejaskan kelestarian alam.

“Permintaan yang tinggi membuktikan rakyat Malaysia bersedia beralih kepada EV. Ia satu tanda positif bahawa kita boleh bersaing dengan produk antarabangsa, malah membina keyakinan terhadap jenama tempatan,” kata Mussaddiq lagi.

Kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Penchala dibangunkan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik serantau.

Dengan sokongan dasar kerajaan serta insentif yang sedang diperkenalkan, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pemain utama industri EV di ASEAN.

Lebih penting, usaha ini juga menyokong aspirasi negara untuk mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2050, selari dengan agenda global mengekang perubahan iklim.

Melihat perkembangan semasa, GGR Motor bukan sahaja mengeluarkan motosikal elektrik, tetapi turut mengangkat martabat industri tempatan ke tahap lebih tinggi.

Daripada hanya sebuah idea, kini ia berkembang menjadi satu gerakan yang bakal membawa Malaysia ke arah masa depan lebih lestari. Dengan sokongan kerajaan, industri dan rakyat, mobiliti elektrik dijangka bukan lagi pilihan alternatif  tetapi menjadi norma baharu.

“Lion G1 hanyalah permulaan. Kami yakin generasi akan datang akan melihat motosikal elektrik buatan Malaysia sebagai kebanggaan negara,” ujar Mussaddiq penuh optimis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat