Tawau – Seorang penuntut universiti awam berusia 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyampaikan ucapan berunsur hasutan ketika Himpunan Solidarity Justice For Zara yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, memaklumkan suspek yang sedang mengikuti pengajian semester tiga itu diberkas sekitar daerah berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurut laporan Harian Metro, penahanan tersebut dibuat selepas polis menerima sebanyak 14 laporan berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh kedudukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah antara individu yang diberi peluang berucap dalam himpunan itu yang didakwa mengandungi unsur hasutan terhadap TYT (Musa) dan menimbulkan kegusaran awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
ACP Jasmin turut menambah bahawa beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan, selain menegaskan proses dijalankan secara telus mengikut lunas undang-undang.
Terdahulu, video ucapan wanita berkenaan tular di media sosial dan menjadi perhatian ramai.



