Panggung Purnama – Menyulam nada Nusantara di Kuala Lumpur

Di tengah-tengah deretan konsert mega yang silih berganti di Malaysia sepanjang tahun ini, hadir sebuah acara yang tampil dengan jiwa berbeza. Panggung Purnama, yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September depan, bukan sekadar pesta muzik, sebaliknya satu perayaan emosi, budaya, dan persahabatan muzik antara Malaysia dan Indonesia.

Dianjurkan buat kali pertama oleh UdaraLaskhar, konsert ini mempertaruhkan gabungan tiga pemuzik yang sudah punya pengaruh besar di pentas Nusantara Pamungkas dan Bilal Indrajaya dari Indonesia serta Fugo dari Malaysia. Gabungan ini tidak hanya sekadar senarai nama, tetapi melambangkan sebuah naratif: muzik yang melintasi sempadan, menyambungkan hati dan pengalaman peminat di dua negara serumpun.

Sebagai penampil utama (headliner), Pamungkas hadir bukan dengan persembahan biasa. Panggung Purnama menjadi pentas istimewa kerana pemuzik kelahiran Jakarta ini memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk mempersembahkan single terbarunya berjudul Sambung, yang dijadual dilancarkan pada 12 September 2025.

“Judulnya Sambung, dan Malaysia akan jadi tempat pertama saya dendangkan lagu ini secara langsung. Ia sesuatu yang sangat saya nantikan,” katanya penuh keterujaan dalam sesi temu bual virtual di Bijou Cafe, Ara Damansara pada Selasa lalu.

Pamungkas bukan sekadar penyanyi atau pencipta lagu; dia adalah fenomena generasi muda. Karya-karyanya seperti To The Bone, Monolog, dan One Only sudah menjadi semacam lagu kebangsaan tidak rasmi bagi peminat yang mencari bahasa jujur untuk perasaan mereka. Maka, hadirnya Sambung dengan judul yang membawa maksud “menyambung” seakan melengkapkan naratif hubungan yang tidak pernah putus antara Pamungkas dan para peminat Malaysia.

Selain single baharu, peminat sudah tentu menantikan himpunan lagu-lagu lamanya yang sering menjadi peneman waktu – sama ada di perjalanan panjang, malam sunyi, atau saat hati berdebar dengan cinta. Dengan reputasi persembahannya yang intim, penuh energi, tetapi juga sarat emosi, ramai percaya malam itu akan menjadi satu pengalaman tak terlupakan.

Turut memperkuatkan barisan ialah Bilal Indrajaya, pemuzik Indonesia yang dikenali dengan gaya vokalnya yang puitis dan karakteristik. Walaupun mungkin lebih baru bagi sebahagian peminat Malaysia, Bilal telah membina nama besar di tanah kelahirannya dengan karya yang jujur, segar, dan mencerminkan realiti kehidupan anak muda.

Kehadirannya di Panggung Purnama bukan sekadar ‘pengiring’, tetapi pelengkap warna. Malah, spekulasi kolaborasi bersama Pamungkas di pentas kelak menambah keterujaan. Ketika ditanya tentang kemungkinan mendendangkan lagu Yang Tercinta bersama Bilal menggantikan Noh Salleh, Pamungkas tersenyum.
“Ya, itu perlu saya minta izin dulu kepada Noh Salleh,” jawabnya ringkas, namun cukup untuk membuat peminat menaruh harapan tinggi.

Sementara itu, dari pihak Malaysia, Fugo tampil sebagai wakil tunggal. Bagi kumpulan ini, peluang di Panggung Purnama adalah lebih daripada sekadar peluang pentas ia sebuah reunion. “Ini bukan hanya konsert, tetapi momen berharga untuk kembali sepentas dengan sahabat muzik dari Indonesia. Ada perasaan nostalgia, ada juga rasa segar untuk memberikan sesuatu yang baharu kepada peminat,” jelas mereka.

UdaraLaskhar, selaku penganjur, tidak mahu sekadar mengisi ruang dalam kalendar hiburan Malaysia yang semakin padat. Mereka mahu menghadirkan sebuah pengalaman. “Walaupun September penuh dengan konsert besar, kami percaya Panggung Purnama ada auranya tersendiri. Gabungan Pamungkas, Bilal, dan Fugo bukan sahaja tentang muzik, tetapi tentang cerita, persahabatan, dan emosi yang bersilang antara Malaysia dan Indonesia,” ujar John Labu, wakil penganjur.

Kehadiran tiga pemuzik dari dua negara ini menjadikan Panggung Purnama lebih mirip jambatan seni. Muzik dijadikan bahasa persatuan, ruang untuk merayakan persamaan dan perbezaan, serta bukti bahawa seni mampu mengikat kita melampaui sempadan geografi.

Untuk memastikan lebih ramai peminat dapat merasai pengalaman ini, pihak penganjur turut memperkenalkan promosi istimewa: “Beli Dua Tiket, Dapat Diskaun 13%” dengan menggunakan kod MDKDUO. Promosi ini berlangsung dari 27 Ogos hingga 1 September 2025.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket, beberapa kategori ditawarkan mengikut keselesaan dan pengalaman yang diinginkan:

  • Bintang (RM179) – pilihan paling berpatutan untuk menikmati malam penuh muzik.
  • Langit (RM199) – sedikit lebih eksklusif dengan jarak lebih dekat.
  • Bumi (RM239) – sesuai bagi yang mahu suasana lebih intim dengan artis.
  • Awan (RM249) – menawarkan sudut pandang berbeza dengan pengalaman lebih premium.
  • Purnama (RM399) – kategori teratas dengan akses paling istimewa.

Semua tiket boleh didapatkan melalui laman rasmi www.ilassotickets.com.

Panggung Purnama bukan sekadar pentas untuk tiga artis. Ia adalah simbol bagaimana muzik mampu menjadi jambatan, menyatukan suara dan rasa dari dua negara yang berakar budaya sama. Di satu pihak, peminat Malaysia menanti Pamungkas dan Bilal yang sudah lama menghiasi senarai main mereka. Di pihak lain, peminat Indonesia dan serantau akan melihat bagaimana Fugo berdiri gah mewakili Malaysia.

Bulan September mungkin penuh dengan konsert antarabangsa, tetapi malam 28 September di Zepp Kuala Lumpur dijangka melakar momen tersendiri  malam di mana Sambung bukan sekadar lagu baharu, tetapi juga simbol hubungan yang tidak pernah terputus antara muzik, pemuzik, dan peminat di seluruh Nusantara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat