KUALA LUMPUR – Ratusan rakyat Malaysia dipercayai kerugian mencecah jutaan ringgit selepas terpedaya dengan pelaburan dalam satu skim pemasaran buah durian Musang King di sebuah negara.
Memetik laporan BH, pelaburan dipromosikan mampu menjana keuntungan luar biasa itu tidak memberi sebarang pulangan, walaupun didakwa mempunyai modul perniagaan yang meyakinkan.
Pelabur diyakinkan untuk melabur sehingga ratusan ribu ringgit dengan mengambil kesempatan durian Musang King mendapat pasaran meluas di banyak negara, khususnya China.
Pelabur turut disogokkan dengan dakwaan kononnya permintaan durian di beberapa negara terlalu tinggi sehingga kerajaan Malaysia juga dikatakan menyokong pemasaran raja buah itu.
Seorang pelabur dikenali sebagai Chin mendakwa dia dan rakan-rakannya berkongsi modal sehingga RM200,000 melabur dalam skim berkenaan, dengan janji pulangan mencecah hampir 50 peratus dalam hanya beberapa bulan.
Bagaimanapun, sehingga kini, katanya, mereka masih belum mendapat sebarang pulangan keuntungan bahkan tidak ‘balik modal’ daripada pelaburan itu.
“Kami dijanjikan ejen bahawa permintaan Musang King di beberapa buah negara, termasuk China sangat tinggi dan syarikat itu memerlukan pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Saya dan rakan berkongsi modal ratusan ribu ringgit selepas yakin pelaburan ini sah kerana perniagaan yang dijalankan memang wujud di negara berkenaan. Malah, kami melihat sendiri bagaimana operasi syarikat itu berlangsung di sana,” katanya kepada akhbar itu.
Chin berkata, Musang King sangat mendapat tempat di beberapa negara seperti China dan Taiwan kerana ia adalah antara jenis durian terbaik dunia.
“Penduduk di sana sangat menggemari durian keluaran Malaysia dan sanggup membayar dengan harga tinggi jika ia jenis Musang King.
“Disebabkan itulah kami merasakan wajar melabur kerana yakin akan memperoleh keuntungan besar. Tetapi sehingga kini, kami masih belum menerima manfaat itu,” katanya.
Tidak sangka kena tipu
Seorang lagi pelabur dikenali sebagai Andrew, 42, berkata dia diyakinkan untuk melabur selepas melihat sendiri pemasaran dan produk Musang King yang dijual syarikat berkenaan di beberapa negara.
Dia mendakwa syarikat terbabit mampu menghantar berkontena Musang King ke China pada satu-satu masa, selain sedang mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih besar.
“Ketika melabur tahun lalu, saya yakin syarikat ini terkenal berdasarkan promosi dan pemasaran yang dijalankan, termasuk kontrak mengeksport buah itu ke China. Durian Malaysia juga sangat terkenal di luar negara sehingga permintaan tidak dapat dipenuhi pengeluar tempatan,” kata Andrew.
Pelabur lain yang dikenali Thian, 48, pula berkata sebelum membuat pelaburan, dia ada memeriksa latar belakang syarikat dan jenis pelaburan itu, namun tidak menyangka terpedaya.
“Ketika itu saya yakin syarikat dan pelaburan ini sangat sah kerana saya membuat pemeriksaan dengan beberapa pihak berkuasa berkaitan.
“Mulanya saya melabur sekitar RM10,000, tetapi menambah pelaburan atas desakan ejen.
“Kini jumlah pelaburan saya mencecah lebih RM100,000 dan ejen mendakwa terdapat beberapa isu menyekat pemasaran Musang King di luar negara,” katanya.
Malah, katanya, ejen juga memberi alasan masalah berkaitan ladang durian di Raub, Pahang, yang diserbu pihak berkuasa kerana menceroboh tanah kerajaan turut mempengaruhi pelaburan sehingga memaksa mereka mencari ladang baharu.



