PUCHONG, – Pemuda UMNO Bahagian Puchong tampil menyatakan sokongan padu kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr. Akmal Saleh dalam isu bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di Pulau Pinang.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed menegaskan, tindakan itu bukan isu remeh kerana ia mencabar maruah serta kedaulatan negara.
“Dr. Akmal hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin muda yang berani menegur perbuatan tidak bertanggungjawab. Soal bendera bukan isu politik, tetapi soal prinsip dan jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Azmil turut membidas seruan DAPSY Melaka dan Selangor yang mahu kerjasama dengan Dr. Akmal diputuskan, dengan menyifatkannya sebagai politik sempit untuk menutup kelemahan mereka.
“Pemuda UMNO Puchong ingin mengingatkan DAPSY bahawa mempertahankan Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama, bukan alat untuk bermain politik kepartian,” tegasnya.
Menurut beliau, Pemuda UMNO Puchong akan terus berdiri teguh bersama Dr. Akmal Saleh dalam mempertahankan maruah negara serta memastikan Jalur Gemilang dihormati di mana-mana jua.



