KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook Sabahan News Online (SNO) hari ini membuat permohonan maaf terbuka kepada Menteri Sabah Datuk Mohd Arifin Arif kerana telah mengaitkannya dengan kes kematian Zara Qairina.
“Melalui pendedahan ini, admin SNO menarik segala kenyataan yang telah mengaitkan nama Datuk Mohd Arifin, yang telah menjadi mangsa salah faham selama ini.
“Pihak SNO memohon maaf dengan sepenuh hati dan akan menjadikan post ini sebagai bahan rujukan umum sehingga semua pihak memahami kebenaran ini.
Dengan ini, segala usaha dan cubaan untuk mengaitkan Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman dan sebagainya adalah satu penyesatan dan ia amatlah dikesali,” akui pentadbir akaun SNO itu dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Justeru, pentadbir akaun SNO berharap semoga hantaran ini dapat meredakan segala kekusutan dan kemarahan netizen.
“Bapa kepada gadis pembuli dan juga pembunuh ini perlu tampil untuk mengambil tanggungjawab ini kerana telah berdiam seribu bahasa sehingga menjadikan orang lain mangsa kecaman umum,” tegasnya.
Pentadbir Facebook SNO turut memohon maaf atas cubaan mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dengan kes itu melalui Arifin, yang juga menantunya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.
Awal hari ini, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang boleh menyebabkan pelajar Tingkatan Satu itu tertekan.
Lima remaja itu dituduh mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.



