Terima kasih Rafizi atas penjelasan, Ismail Sabri lapor polis, MCMC

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghargai penjelasan Datuk Seri Rafizi Ramli sekali gus membersihkan namanya daripada terpalit fitnah kononnya terkait serangan ke atas anak lelaki tunggal Ahli Parlimen Pandan itu.

Pun begitu, bekas Perdana Menteri itu tidak hanya diam beliau telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya susulan sebaran berita palsu berkenaan.

“Terima kasih Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli atas penjelasan beliau hari ini,” ujar Ismail Sabri dalam kenyataan media pada Rabu.

Sebelum itu, bekas Menteri Ekonomi menyangkal cubaan jahat mengalihkan perhatian kononnya serangan ke atas anak lelaki tunggalnya terkait dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya Rafizi mengesahkan seminggu sebelum serangan, beliau ada berjumpa dengan pemberi maklumat mengenai satu skandal bersabit Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengenai urus niaga syarikat-syarikatnya.

Menurut Ismail Sabri, pada 18 Ogos 2025 (Isnin), Setiausaha Akhbar beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap sebuah laman
Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan kejadian yang menimpa anak Rafizi serta skandal membabitkan sebuah syarikat swasta.

“Satu laporan juga telah dibuat kepada MCMC dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya.

“Keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik saya.

“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook ini serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit.

“Saya juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit,” tegas Ismail Sabri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat