Laut Sulawesi Bukan Ambalat: Ketegasan Malaysia dalam Isu Persempadanan Maritim

Kenyataan Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, memperbetulkan naratif berhubung isu sempadan maritim di kawasan perairan timur Sabah yang sering dirujuk sebagai “Ambalat” oleh sesetengah pihak, khususnya dari Indonesia menunjukkan ketegasan Malaysia dalam menangani isu sempadan.

Dalam kenyataannya, Mohamad Hasan menegaskan bahawa istilah yang tepat dan rasmi ialah Laut Sulawesi, bukannya “Ambalat” – satu istilah yang menurut beliau bukan sahaja tidak tepat, tetapi memperkukuh tuntutan sebelah pihak dan boleh mengelirukan masyarakat umum. Malaysia berpegang kepada hak ke atas Blok ND6 dan ND7 berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 serta Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

“Malaysia tidak akan mengiktiraf istilah yang boleh melemahkan kedudukannya dalam perbincangan antarabangsa. Ini soal prinsip dan kedaulatan negara,” ujarnya.

Diplomasi, Bukan Konfrontasi

Sejak 2005, perbincangan teknikal antara Malaysia dan Indonesia telah berjalan secara berterusan menerusi Pertemuan Teknikal Persempadanan Maritim. Dalam semangat federalisme, Kerajaan Negeri Sabah dilibatkan dalam setiap fasa rundingan. Malaysia menekankan bahawa pendekatannya dalam isu ini adalah berlandaskan saluran diplomatik, perundangan dan teknikal – bukan agresif atau konfrontatif.

“Kerangka penyelesaian kita ialah undang-undang antarabangsa dan rundingan. Kita tidak melihat Indonesia sebagai seteru, tetapi sebagai rakan serantau yang punya kepentingan bersama,” tambah beliau.

Setakat ini, tiada persetujuan dimuktamadkan berkenaan cadangan pembangunan bersama (Joint Development) antara Petronas dan Pertamina di kawasan bertindih tersebut. Dato’ Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa sebarang keputusan memerlukan persetujuan bersama Kerajaan Sabah dan akan dibawa ke mekanisme yang relevan seperti Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Hubungan Malaysia–Indonesia Terus Diperkukuh

Presiden Indonesia juga dilaporkan menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan ini secara aman, bersandarkan prinsip itikad baik serta kesediaan untuk mempertimbangkan pendekatan pembangunan bersama sambil menunggu penyelesaian formal.

Menurut Profesor Azmi Hasan, penganalisis politik antarabangsa, kerjasama di kawasan ekonomi bertindih bukanlah perkara baharu. Beliau menyebut contoh kejayaan model kerjasama antara Malaysia dan Brunei sebagai rujukan.

“Kita telah berjaya melaksanakan pembangunan bersama dengan Brunei tanpa menggugat sempadan. Jadi, kenapa tidak boleh dilakukan dengan Indonesia?” katanya.

Beliau turut menggesa agar kedua-dua negara bertindak telus dalam pembahagian hasil penerokaan minyak dan gas di kawasan tersebut, mencadangkan formula 50-50 antara Petronas dan Pertamina sebagai model asas.

Isu Perbatasan Jangan Dijadikan Modal Politik

Profesor Azmi turut memberi amaran agar isu perbatasan ini tidak dimanipulasi sebagai modal politik domestik oleh mana-mana pihak.

“Jika kita terikut rentak politik sempit, tujuan asal ASEAN akan tergelincir. Ini soal integrasi serantau, bukan retorik nasionalisme sempit,” katanya.

Pendekatan Malaysia dalam isu Laut Sulawesi menunjukkan keseimbangan antara ketegasan mempertahankan kedaulatan dan keupayaan berdiplomasi dalam kerangka serantau. Laut Sulawesi bukan sekadar isu sempadan, ia juga ujian terhadap kematangan politik luar Malaysia dan kekuatan ASEAN sebagai wadah damai dan kerjasama.

 

author avatar
Azmah Dahari
Azmah Dahari merupakan bekas wartawan dan pembaca berita TV3.
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat