Richard Marx bukan nama asing dalam dunia muzik antarabangsa. Sejak kemunculannya pada tahun 1987 dengan album debut yang meraih kejayaan luar biasa, beliau telah mencipta lebih daripada 14 lagu yang menduduki tangga teratas carta Billboard, termasuk empat daripadanya yang menduduki kedudukan nombor satu. Antara lagu ikonik yang melonjakkan namanya ialah “Hold On to the Nights,” “Satisfied,” “Angelia” dan tentu sekali “Right Here Waiting” yang menjadi balada cinta abadi hingga ke hari ini.
Selain menjadi penyanyi dan komposer prolifik, Marx juga penulis lagu untuk artis lain; salah satu karyanya yang paling dikenali ialah “Dance with My Father” dendangan Luther Vandross, yang memenangi Grammy. Dengan pencapaian sebegitu, tidak hairanlah beliau dianggap antara artis legenda yang berjaya mengekalkan relevansi dan karisma sepanjang empat dekad.
Konsert di Genting Highlands bermula dengan penuh keyakinan apabila Marx membuka tirai dengan “Believe in Me,” lagu yang segera menyalakan semangat penonton. Sorakan bergema memenuhi ruang sebaik beliau melangkah ke pentas, dan suara emas yang tidak dimakan usia itu membuktikan keistimewaannya masih kekal utuh.
Suasana semakin syahdu apabila “Endless Summer Nights” bergema, membawa penonton kembali ke era 80-an yang romantik. Lagu cinta penuh nostalgia itu mencetuskan momen indah, dengan ramai penonton menyanyi bersama, seolah-olah mengimbau kenangan muda mereka. Rentak konsert kemudian dipacu dengan lebih bertenaga melalui “Take This Heart,” disambut oleh tepukan dan sorakan penuh semangat.

Tatkala bait indah “Angelia” dimainkan, dewan seolah-olah terhenti seketika. Lagu yang pernah menduduki carta nombor satu itu disampaikan dengan penuh emosi, dan penonton larut dalam nyanyian yang menyentuh jiwa. Marx kemudian mendekatkan diri dengan penonton melalui “Front Row Seat,” mencipta keintiman yang jarang ditemui dalam konsert berskala besar, sebelum menambahkan suasana romantik dengan “Keep Coming Back.”
Kemudian, suasana menjadi lebih dramatik dengan “Too Late to Say Goodbye” dan seterusnya lagu penuh misteri, “Hazard.” Persembahan ini menjadi antara kemuncak malam, dengan pencahayaan redup dan visual dramatik yang menghidupkan kisah yang terkandung dalam liriknya.
Selepas momen dramatik itu, Marx menyampaikan “Only a Memory” dengan piano sebagai pengiring, menghasilkan detik hening yang sarat dengan kejujuran.
Namun, kejutan terbesar hadir apabila beliau mempersembahkan “Magic Hour,”. Malam itu menjadi lebih istimewa kerana persembahan di Genting merupakan kali pertama lagu tersebut dimainkan secara langsung, khusus buat peminat Malaysia.“Magic Hour” dengan jelas memancarkan vibe klasik 80-an – gitar elektrik, chorus besar dan melodi yang mudah melekat – membuatkan penonton terpukau seolah-olah ia sudah pun menjadi sebahagian daripada koleksi klasik Marx.
Keintiman diteruskan apabila Marx duduk di hadapan piano untuk menyanyikan “Fly Me to the Moon” dalam aransemen baharu yang segar. Lagu standard jazz itu diberi nafas peribadi yang memukau, sebelum beliau menghadiahkan satu lagi kejutan dengan “This I Promise You,” lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh kumpulan NSYNC.
Detik emosi memuncak apabila Marx menggandingkan “Hold On to the Nights” dan “Now and Forever,” dua balada indah yang membuatkan seluruh dewan menyanyi bersama dalam harmoni yang meremangkan bulu roma. Telefon bimbit menyala bak bintang berkelip, mencipta panorama magis yang tidak mungkin dilupakan.

Selepas mengikat hati penonton dengan balada, Marx menghidupkan semula suasana dengan “The Way She Loves Me” dan diikuti dengan “Satisfied,” salah satu daripada empat lagu nombor satunya. Sorakan bergema kuat, penonton berdiri dan menari, menjadikan dewan bergegar dengan tenaga. Malam nostalgia itu semakin rancak apabila Marx membawakan “Should’ve Known Better,” lagu debut beliau yang mengimbau kembali permulaan karier gemilangnya pada penghujung 80-an.
Dan akhirnya, malam yang penuh emosi itu ditutup dengan balada abadi “Right Here Waiting.” Saat not piano pertama dimainkan, seluruh dewan larut dalam nyanyian bersama, mencipta satu harmoni besar yang menyatukan penonton dengan artis. Ia adalah penutup sempurna, momen yang mengukuhkan ikatan antara Richard Marx dan peminatnya di Malaysia.
Konsert Richard Marx di Genting bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu perjalanan masa yang menghubungkan penonton dengan kenangan, cinta, kehilangan dan harapan. Sebagai kemuncak sambutan Jubli Intan Resorts World Genting, persembahan ini membuktikan bahawa muzik mempunyai kuasa untuk merentas generasi dan mengikat hati manusia.
Richard Marx sekali lagi membuktikan dirinya bukan sahaja seorang penyanyi, tetapi juga seorang pencerita, pencipta dan legenda yang akan terus terpahat dalam sejarah muzik dunia. Malam di Arena of Stars itu akan kekal dikenang sebagai hadiah istimewa daripada seorang bintang antarabangsa untuk peminat Malaysia yang setia menanti, right here waiting.



