Kuala Lumpur, 14 Ogos 2025 – Bagi sesetengah orang, fesyen hanyalah tentang kain, potongan dan trend. Tetapi di Cat Fashion Week pertandingan fesyen kucing pertama yang disiarkan di televisyen tempatan fesyen adalah tentang cinta, persahabatan dan bahasa tanpa kata yang hanya difahami oleh manusia dan rakan berbulu kesayangan mereka.
Sejak episod pertama disiarkan, program ini telah mencetuskan fenomena kecil dalam kalangan pencinta kucing Malaysia. Ada yang menonton kerana mahu melihat kostum kreatif, ada pula yang menantikan gelagat comel para meow-del, dan ada juga yang sekadar ingin “healing” selepas hari yang penat. Namun, di sebalik sorakan penonton, lampu berkelip dan pentas berkilauan, tersimpan cerita-cerita kecil yang membentuk jiwa sebenar acara ini.
Bagi Nurul Izzah, pemilik Omey (Siberian), perjalanan menuju pentas akhir bukanlah sekadar soal menjahit kostum atau menghafal langkah. Ia adalah perjalanan membina kepercayaan.
“Omey ni jenis yang curious. Kalau nampak benda baru, dia nak bau, nak usik. Jadi latihan kena dibuat perlahan-lahan, bagi dia rasa selesa dulu sebelum mula jalan di pentas,” jelasnya sambil mengusap bulu lebat Omey.
Sementara itu, Zakry Shazryl yang membawa Winter Notty (Munchkin) ke pertandingan ini, menganggap keunikan fizikal kucingnya kaki pendek yang comel sebagai cabaran dan kelebihan.
“Busana kena direka ikut saiz dan bentuk badannya. Tak boleh terlalu berat atau panjang, nanti susah dia bergerak. Kami nak dia nampak glamor, tapi tetap bebas.”
Tidak semua kucing suka dipakaikan kostum. Malah, ada yang terus “mogok” dan bersembunyi di bawah sofa bila melihat reben atau topi.
Nurmayani, pemilik Kristoff (Ragdoll), berkongsi rahsianya:
“Saya tak terus pakaikan dia kostum penuh. Mula-mula bagi dia pakai aksesori kecil, seperti bandana. Bila dia dah biasa, baru tambah elemen lain. Latihan dibuat sambil bermain supaya dia rasa ini masa untuk berseronok, bukan tertekan.”
Farahin Zakaria pula mengakui, persiapan untuk Juny (Persian) mengubah hubungan mereka.
“Dulu Juny manja tapi cepat lari kalau ada orang baru. Lepas banyak sesi latihan, dia jadi lebih berani. Saya rasa dia tahu saya akan lindungi dia.”
Pentas akhir Cat Fashion Week bukan hanya pertunjukan kostum ia adalah teater mini di mana setiap kucing membawa watak dan cerita. Ada yang tampil sebagai puteri anggun dengan mahkota, juruterbang dengan gogal dan jaket kulit, pemandu litar yang garang, malah kucing yang membawakan aura Mesir Purba lengkap dengan perhiasan emas palsu.
Menurut juri Rizman Nordin, pereka fesyen terkenal:
“Fesyen kucing ni unik sebab kita kena fikir dua kali – pertama, visual yang cantik, kedua, keselesaan kucing. Kalau kucing nampak resah atau tak mahu berjalan, semua keindahan busana akan hilang. Tapi bila konsep, cerita dan keselesaan bersatu, hasilnya magis.”
Di belakang pentas, suasana bagaikan backstage minggu fesyen antarabangsa, cuma modelnya berbulu dan kadang-kadang… tertidur di tengah-tengah kesibukan. Ada pemilik yang menghembus bulu kostum agar nampak rapi, ada yang membawa bekal makanan basah kegemaran kucing untuk “suapan motivasi”, dan ada juga yang memegang mainan berbunyi untuk menarik perhatian.
“Saya kena bawa bantal kecil sebab Kristoff suka tidur sebelum gilirannya. Kalau dia dah lena, susah nak kejutkan,” ketawa Nurmayani.

Walaupun hadiah wang tunai lumayan menanti RM5,000 untuk juara, RM3,000 untuk naib juara, RM2,000 untuk tempat ketiga, serta RM1,000 bagi tempat ke-4 hingga ke-8 — ramai peserta menganggap kemenangan bukanlah matlamat utama.
Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, percaya kekuatan Cat Fashion Week adalah pada mesej yang dibawa.
“Program ini menyerlahkan nilai empati dan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan. Ia bukan sahaja hiburan, tetapi juga satu cara menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui cinta terhadap si bulus.”
Ahad ini, 17 Ogos 2025, jam 9 malam di TV3, segalanya akan terjawab. Bukan sahaja pemenang utama akan diumumkan, tetapi penonton juga bakal melihat siapakah yang akan menerima Anugerah FELIX Si Bulus Paling Memikat, berdasarkan undian peminat.
Selain persembahan fesyen, malam kemuncak akan dimeriahkan dengan nyanyian daripada Sophia Liana dan Shiha Zikir, aktiviti adopsi kucing, face painting, bengkel kraf dan jualan aksesori haiwan. Ia bukan sekadar penutup pertandingan, tetapi sebuah pesta komuniti pencinta kucing.
Dan mungkin, selepas semua sorakan reda, apa yang akan tinggal hanyalah kenangan kenangan tentang bagaimana satu pertandingan fesyen mengeratkan hubungan manusia dengan kucing mereka, serta membuktikan bahawa kasih sayang adalah bahasa yang semua makhluk faham.



