KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menghargai semangat kebersamaan yang ditunjukkan Armada Bersatu meskipun berbeza fahaman politik.
Akmal teruja dengan sokongan Armada Bersatu bahkan tidak sabar untuk berhimpun bersama di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Terima kasih Armada atas sokongan bersama Pemuda Umno.
“Kita jumpa esok,” kata Akmal.
Pagi tadi, Ketua Armada Bersatu Hilman Idham menyatakan kesediaan untuk bersama Pemuda Umno mengadakan himpunan memartabatkan Jalur Gemilang yang dirancang diadakan di kedai perkakas yang sebelum ini memasang bendera terbalik.
Kata Hilman, kebersamaan itu dilakukan atas semangat solidariti merentasi politik kepartian.
“Armada Bersatu akan turun bersama Pemuda Umno ke Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025,” katanya.
Justeru Hilman menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen.
“Jalur Gemilang adalah panji tanah air. lanya adalah lambang kedaulatan negara, perpaduan rakyat sekali gus identiti dan martabat negara. Jelas, wajib bagi setiap warganegara Malaysia memelihara dan mempertahankannya.
“Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik bukan kali pertama berlaku. Biarpun riuh, insiden seperti ini tetap berulang kali berlaku. Saya musykil bagaimana insiden ini boleh berlaku berulang kali dengan alasan cuai, tidak sengaja dan salah teknikal yang pelbagai. Lebih musykil, orang yang membela dan mempertahankan jalur gemilang digelar anjing liar, pembuli dan gangster yang mengugat keharmonian.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung disebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘rukun negara’. Jangan peralat dan mencemarkan ‘patriotisme’ untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.



