KUALA LUMPUR – DAP mengutuk keras tindakan pihak tertentu yang cuba memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa seorang pekedai di Pulau Pinang yang tesilap memasang bendera Jalur Gemilang di depan kedainya.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan, ini adalah tindakan mencampuri dan cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.
Menteri Pengangkutan itu mengingatkan, pihak Peguam Negara perlu diberi ruang secara bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa apa-apa tekanan politik.
“Pihak tersebut menggugut untuk mengadakan protes di depan kedai tersebut sekiranya tidak ada pendakwaan dalam masa terdekat.
“Ini adalah tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali. Bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya,” tegas beliau.
Namun katanya, untuk menangani pihak yang kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab.
“DAP akan menaja bendera Jalur Gemilang gergasi yang akan dipasang di premis kedai tersebut pada petang ini juga supaya semua orang boleh melihat dengan jelas bahawa bendera telah dipasang dengan betul di kedai tersebut.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menggangu ketenteraman di kawasan premis tersebut, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena 31 Ogos,” ujar beliau.



