Malaysia dijangka belanja sehingga USD150 bilion demi kurangkan tarif AS – Reuters

KUALA LUMPUR, – Malaysia dijangka akan membelanjakan sehingga USD150 bilion (anggaran RM700 bilion) dalam tempoh lima tahun bagi membeli pelbagai peralatan dan perkhidmatan teknologi tinggi daripada syarikat multinasional Amerika Syarikat, lapor Reuters.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada perjanjian perdagangan dua hala antara Putrajaya dan Washington, bertujuan mengelakkan pengenaan tarif lebih tinggi ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.

Menurut Reuters perkara itu disahkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang menyatakan bahawa pembelian tersebut melibatkan sektor strategik seperti semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data yang kini menjadi tonggak utama dalam peralihan ekonomi digital dan pendalaman rantaian bekalan global.

Dalam laporan Reuters yang diterbitkan semalam, inisiatif perdagangan ini menjadi salah satu langkah mitigasi Malaysia terhadap tekanan tarif yang diumumkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat baru-baru ini.

Tarif baharu sebanyak 19 peratus akan dikenakan ke atas sebahagian besar produk eksport Malaysia mulai 8 Ogos 2025.

Bagaimanapun, sektor farmaseutikal dan semikonduktor akan kekal dikecualikan daripada tarif buat masa ini.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa rundingan yang dicapai membolehkan Malaysia mengelak daripada kadar tarif yang lebih tinggi, sekali gus mengekalkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa. Katanya, perjanjian ini juga merangkumi komitmen untuk mengimport lebih banyak gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat serta memberi akses kepada firma AS dalam beberapa sektor teknologi dan tenaga.

“Kita tidak berkompromi terhadap perkara-perkara asas seperti dasar halal, pemilikan asing dalam sektor strategik dan cukai digital. Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu mempertahankan kepentingan eksport negara,” kata beliau dalam sidang media ringkas.

Tambah beliau, walaupun pembelian besar ini bukanlah dalam bentuk perbelanjaan kerajaan secara langsung, ia tetap merupakan komitmen yang diselaraskan antara sektor awam dan swasta menerusi entiti berkaitan kerajaan seperti Khazanah, Petronas dan pemain utama industri teknologi negara.

Penganalisis menjangkakan bahawa langkah Malaysia ini akan memberi kelegaan kepada sektor eksport, namun menimbulkan perbahasan mengenai kos ekonomi jangka panjang, terutama dari segi ketergantungan kepada pembekal luar, ketelusan rundingan serta impak terhadap dasar fiskal negara.

Reuters turut memetik kenyataan, Bank Negara Malaysia sebagai berkata bahawa meskipun tarif AS akan memberi impak kepada perdagangan negara, ekonomi Malaysia yang berstruktur pelbagai (diversified) dijangka mampu menyerap tekanan jangka pendek.

Bank pusat turut menekankan pentingnya pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi sebagai strategi jangka panjang untuk daya tahan ekonomi. SuaraTv/Reuters

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat