Gajah dalam bilik tidak ditangani sindir Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menangani isu-isu besar yang terus membelenggu rakyat dan negara – yang disifatkannya sebagai “gajah dalam bilik” yang dibiarkan tanpa tindakan.

Berucap dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Parlimen, Hamzah menegaskan bahawa kegagalan menyelesaikan isu-isu asas seperti ketidaksamaan ekonomi, pelantikan institusi kehakiman, dan ketelusan dalam urus tadbir hanya akan memperdalam defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Masalah ‘elephant in the room’ ini masih merantai dan menjerut kerajaan. Banyak isu besar yang diabaikan, tidak ditangani dengan jujur oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Antara isu utama yang dibangkitkan Hamzah ialah ketidakseimbangan pendapatan antara golongan bumiputera dan bukan bumiputera, jurang pembangunan antara pantai timur dan barat, serta ketidakadilan agihan keuntungan antara majikan dan pekerja.

“RMKe-13 ini agak janggal kerana kerajaan seolah-olah tidak berani ambil langkah tegas menangani kesenjangan ekonomi dalam negara,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa tanpa reformasi menyeluruh dalam agihan kekayaan, Malaysia akan terus terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana.

Hamzah juga membangkitkan isu integriti institusi kehakiman dan perundangan, termasuk kontroversi pelantikan hakim, isu Akta Lompat Parti, dan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong dalam kes Pulau Batu Puteh.

“Ini memberi isyarat salah seolah-olah Perdana Menteri adalah penyiasat, pendakwa raya dan hakim. Campur tangan sebegini menghakis kebebasan institusi,” katanya.

Beliau menyifatkan apa yang didakwa sebagai reformasi institusi oleh kerajaan Madani hanya retorik, jauh daripada realiti yang dijanjikan.

Isu ketirisan dan integriti juga menjadi perhatian Ketua Pembangkang, khususnya membabitkan skandal perlombongan haram seluas 70,000 hektar di Sabah.

“Kenapa hanya pemberi maklumat dan dua ADUN sahaja yang didakwa? Mengapa selebihnya kelihatan kebal?” soalnya.

Hamzah mendakwa agensi penguatkuasaan kini dilihat “berperang dengan pemberi maklumat” satu petanda bahawa kerajaan tidak serius dalam melawan rasuah secara menyeluruh.

Beliau memberi amaran bahawa semua isu ini menyumbang kepada ‘trust deficit’ yang semakin dalam antara rakyat dan kerajaan.

“Rakyat tidak mahu kerajaan yang cakap tak serupa bikin. Lebih parah, kalau sesuatu itu langsung dibiarkan tanpa tindakan,” katanya.

Ketua Pembangkang menyeru kerajaan agar berhenti berselindung di sebalik slogan “Madani” dan segera menangani isu-isu besar negara secara terbuka dan berani.

“Kalau tidak, rakyat akan terus kecewa. Dan bila rakyat kecewa, mereka bangkit sebagaimana yang berlaku di Dataran Merdeka,” ujar beliau merujuk kepada himpunan besar-besaran rakyat baru-baru ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat