KUALA LUMPUR, – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan menubuhkan segera sebuah syarikat milik negara yang khusus menguruskan sumber unsur nadir bumi (REE), bagi mengelak ketirisan, rasuah serta memastikan kekayaan baru negara itu dikendalikan secara telus dan berstrategi.
Dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Parlimen, Hamzah mencadangkan penubuhan REE National Corporationatau singkatannya REENAS, sebagai entiti nasional seumpama PETRONAS yang menguruskan sektor petroleum.
“Kalau minyak kita ada PETRONAS, maka bagi sektor perlombongan unsur nadir bumi kita juga perlukan REENAS untuk mengurusnya demi kepentingan negara dan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah itu penting bagi mengelakkan eksploitasi oleh pihak tertentu dan memastikan kekayaan hasil bumi negara diagih secara adil kepada semua negeri, terutamanya yang kini ditadbir Perikatan Nasional.
Hamzah menyifatkan unsur nadir bumi sebagai “sumber kekayaan baharu negara” yang memerlukan pelan pengurusan nasional yang teratur dan berintegriti.
“Dulu bijih timah jadi kekayaan utama di negeri-negeri pantai barat. Hari ini, REE ditemukan di negeri-negeri yang diperintah oleh Perikatan Nasional seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.
Beliau menambah, pengurusan REE secara tidak berpusat dan tanpa kawalan boleh membawa kepada monopoli, ketirisan, dan manipulasi pasaran yang akhirnya merugikan rakyat.
Hamzah turut membangkitkan kebimbangan terhadap skandal perlombongan di Sabah yang melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur yang sehingga kini tidak ditangani secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
“Seluruh negara tertanya-tanya, kenapa hanya pemberi maklumat dan dua ADUN sahaja yang didakwa? Selebihnya kebal? Di mana prinsip integriti dan keadilan yang dilaungkan?” soal beliau.
Beliau mendakwa wujud keraguan rakyat terhadap kejujuran kerajaan Madani dalam agenda membanteras rasuah, khususnya apabila agensi penguat kuasa dilihat seperti “berperang dengan orang yang memberi maklumat”.
Dalam konteks REE, Hamzah menggesa kerajaan memastikan negeri-negeri yang menjadi sumber REE diberi keadilan dan pulangan sewajarnya.
“Jangan hanya petik nama Ibnu Khaldun dan Deng Xiaoping dalam ucapan, tetapi dalam pelaksanaan tiada keadilan dan tiada iltizam moral,” katanya menyindir Perdana Menteri.
Hamzah menekankan bahawa hasil bumi seperti REE bukan sahaja aset ekonomi, tetapi juga simbol kepercayaan antara kerajaan pusat dan negeri. Maka, katanya, keadilan agihan hasil dan tadbir urus berasaskan amanah adalah keutamaan.
Ketua Pembangkang mengakhiri cadangannya dengan menyeru kerajaan bertindak segera agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu dalam pengurusan hasil negara.
“Tubuhkan REENAS sekarang. Jangan tunggu sampai skandal baharu meletup. REE adalah peluang untuk kita bina asas ekonomi masa depan – tapi hanya jika diurus dengan amanah dan profesional,” tegas beliau.- SuaraTV



