KUALA LUMPUR – Umno menyeru semua pihak agar menilai isu-isu antarabangsa secara matang dan berhemah.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan, jangan sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global.
“Saya berpandangan bahawa menjadi ahli politik tidak membawa maksud segala perkara harus dipolitikkan, apatah lagi apabila ia menyentuh hal-hal hubungan luar negara serta isu-isu kemanusiaan sejagat.
“Konflik antara Thailand dan Kemboja ketika ini merupakan isu yang serius dan berpotensi mencetuskan krisis serantau Asia Tenggara, termasuk memberi kesan langsung kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, sejarah tidak boleh kita lupakan yakni ketika era Perang Vietnam dan kekejaman Rejim Khmer Rouge dahulu, pantai-pantai negara kita terutamanya di Pantai Timur menjadi tempat perlindungan ribuan pelarian perang.
“Hari ini, kita masih menanggung kesan krisis pelarian Rohingya yang berpunca daripada penindasan junta tentera di Myanmar.
“Justeru, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja adalah sesuatu yang perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira ideologi politik. Kejayaan ini turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Keupayaan Malaysia mempertemukan pihak-pihak yang bertelagah sehingga berjaya memeterai gencatan senjata merupakan pencapaian yang harus dibanggakan oleh kita semua.
“Malangnya, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan ini termasuk dengan menggunakan perumpamaan yang biadab dan tidak mencerminkan akhlak serta nilai seorang pemimpin.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak matang, malah memperlihatkan kedangkalan moral dan intelektual apabila politik sempit dijadikan neraca kepada segala-galanya.
Lebih mengecewakan apabila ia datang daripada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemar imej negara di mata dunia, malah mendedahkan betapa rendahnya komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat,” katanya.



