KUALA LUMPUR – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dia dipaksa mengakui perkara yang tidak pernah dilakukan semasa disiasat ketika ditahan reman.
Ketika memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen hari ini, Ismanira berkata dia memberi kerjasama baik dalam soal siasat namun kenyataan yang diberikan tidak memuaskan hati pihak berkuasa.
“Mereka menuduh saya dan mengarang cerita, perkara saya tidak lakukan.
“Mereka reka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya dan saya membunuh anak saya sendiri, dan apabila saya menafikan mereka tetap tidak puas hati,” katanya lapor Astro Awani.
Ismanira juga mendakwa dia dipaksa membuat pengakuan bersalah membunuh anaknya ketika sesi soal siasat yang dibuat di lokasi yang dipanggil safe house.
“Saya beritahu (Majistret) yang saya tidak rela untuk dibawa berjumpa dengannya.
“Saya dipaksa, digertak polis untuk membuat pengakuan itu dan tuan Majistret menerima pengakuan tidak bersalah saya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan, 6, didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke lokasi anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Isnin, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Zaim selepas mendapati tiada elemen pengabaian dibuktikan oleh pihak pendakwaan, manakala Ismanira, diperintah membela diri kerana wujud kes prima facie terhadapnya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya kira-kira 200 meter dari Blok R, pada malam keesokannya.



