Sabah Mineral nafi ada kaitan dengan Farhash

KUALA LUMPUR – Syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menafikan yang mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan bekas pegawai Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador diberi lesen penerokaan di negeri itu.

CEO SMM Natasha Sim memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan rekod, tiada syarikat yang dimiliki atau mempunyai kaitan dengan Farhash telah diberi lesen itu, lapor Malaysiakini pada Isnin.

Ia termasuklah Bumi Suria Sdn Bhd and Borneo Bumi Sdn Bhd.

“Tiada,” katanya ketika dihubungi portal itu.

Natasha Sim turut berkata SMM tiada sebarang kuasa untuk mengeluarkan lesen.

Beliau berkata demikian susulan laporan MalaysiaNow yang mendakwa Bumi Suria diberi lesen penerokaan mineral di Sabah, melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Kawasan itu meliputi hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Memetik dokumen dan surat antara SMM dan Bumi Suria, MalaysiaNow melaporkan lesen untuk syarikat itu telah dibatalkan pada awal 2024, namun diberikan semula dua minggu selepas Farhash dan seorang rakan niaga menyertai Bumi Suria.

Semakan portal itu lagi terhadap rekod rasmi syarikat mendapati Bumi Suria dimiliki oleh Borneo Bumi, yang dimiliki Farhash dan Aminudin Mustapha. Mereka menjadi pengarah di kedua-dua syarikat.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Farhash untuk mendapatkan komen berkenaan dakwaan ini.

Farhash merupakan setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dia menjadi Perdana Menteri.

Lesen penerokaan mineral di Sabah menjadi tumpuan selepas rakaman video menunjukkan beberapa Adun termasuk menteri Sabah didakwa berbincang mengenai rasuah berkaitan lesen itu dengan ahli perniagaanm Albert Tei – yang kemudiannya bertindak sebagai pemberi maklumat.

Dua ahli politik Sabah, Pembantu Menteri Andi Suryady Bandy dan Pengerusi Qhazanah Sabah Yusof Yaacob telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 daripada Albert Tei.

Albert Tei pula didakwa atas tuduhan memberi rasuah.

Natasha Sim sendiri terpalit dengan kontroversi susulan tersebarnya gambar yang didakwa memaparkannya bersama setiausaha syarikat SMM, Nancy Chong dan taikun balak Sabah, Elbert Lim di sisi sebuah jet peribadi yang dikatakan milik seorang hartawan arang batu dari Indonesia.

Walaupun dia sebelum ini telah menyangkal dakwaan bekas CEO SMM, Jontih Enggihon yang dia dan suaminya menyertai percutian mewah bernilai RM400,000 yang ditaja sepenuhnya, Sim masih belum memberikan sebarang penjelasan berhubung gambar tersebut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat